Penjawat awam rugi RM179,400 diperdaya Macau Scam

 

Gambar hiasan

KUCHING: Seorang penjawat awam mengalami kerugian RM179,400 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai bil Unifi tertunggak selama tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abg Ahmad berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu tampil membuat laporan polis pada 2 Januari lalu.

"Menurut mangsa, beliau telah terima panggilan telefon dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai 'Abdul Morshidi' dari Menara Telekom Kuala Lumpur pada 13 Oktober 2022 yang lalu. 

"Suspek mengatakan mangsa telah mendaftar Unifi di Kota Bharu, Kelantan dan mempunyai bil tertungak selama 3 bulan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, panggilan telefon kemudian telah disambungkan kepada suspek yang menyamar sebagai “Sarjan Mohamad Khairul” dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. 

"Suspek mengatakan mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram bersama seorang bergelar datuk dan memaklumkan kes mangsa telah diserahkan kepada “Sarjan Mohd Fitri” untuk siasatan lanjut. 

"Suspek mengatakan akan membantu mangsa membayar wang jaminan dan mengarahkan mangsa membuat bayaran ke beberapa akaun bank bagi tujuan tersebut," katanya.

Tambah Abang Zainal, berikutan itu mangsa telah melakukan 14 transaksi pemindahan wang keseluruhan berjumlah RM179,400 ke empat akaun bank atas nama individu berlainan di antara 13 Oktober 2022 sehingga 19 Disember 2022.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah gagal menghubungi 'Sarjan Mohd Fitri” dan nombor telefon mangsa telah disekat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar dapat mengawal diri sendiri dan tidak mudah panik atau merasa cemas sekiranya menerima panggilan telefon dari individu yang tidak dikenali yang mendakwa diri mereka dari mana-mana jabatan kerajaan, institusi kewangan, syarikat insuran syarikat penghantaran dan sebagainya.

Tegasnya lagi, segera tamatkan panggilan tersebut dan buat semakan dengan pihak berwajib melalui nombor telefon yang sah atau hadir sendiri ke jabatan kerajaan, institusi kewangan, syarikat insuran, syarikat penghantaran berkenaan untuk membuat pengesahan. 

"Jangan sesekali menghubungi nombor-nombor telefon yang diberikan oleh suspek.

"Pada masa sama, orang ramai juga diingatkan agar tidak memberikan maklumat perbankan seperti nombor akaun, nombor kad atm, nombor pin, id dan kata laluan perbankan online anda kepada mana-mana individu yang tidak dikenali. 

"Maklumat perbankan tidak seharusnya didedahkan kepada sesiapa sahaja," katanya.

Next Post Previous Post