Cuba bunuh, samun RM2000 - lelaki tidak mengaku salah



GEORGE TOWN, 4 Jan (Bernama) -- Seorang tukang paip didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang wanita sehingga mangsa mengalami kecederaan parah dan dirawat  di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.

Chan Ping Khoon, 32, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan berkenaan terhadap Tan Li Sia, 38, di sebuah premis perniagaan Hydro Pump, Jalan Jelutong dekat sini pada 7.22 petang 24 Dis 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Yazid Mustaqim Roslan tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, selepas mengambil kira tahap keseriusan kes.

Chan yang tidak diwakili peguam memohon dibenarkan diikat jamin yang minimum dengan alasan berpendapatan RM3,000 sebulan dan menanggung isteri, seorang anak serta kedua-dua ibu bapa.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Feb untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Pada 30 Dis lepas, media melaporkan seorang wanita mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan dirawat di ICU selepas dipercayai dipukul seorang lelaki dalam kejadian samun di sebuah kedai menjual penapis air di Jelutong di sini pada 24 Dis lepas.

Lelaki itu dipercayai memukul mangsa dengan senjata tumpul sebelum menyamun wang tunai RM2,000.

-- BERNAMA

 

Next Post Previous Post