Jangan menyiksa rakyat, minta bantuan PDRM, RELA - Chong

JKR perlu bertindak, minta bantuan polis dan RELA bantu rakyat bukan setakat keluarkan kenyataan

KUCHING-- Jangan bersikap lepas tangan dan hanya mengeluarkan kenyataan sahaja berhubung isu kesesakan di laluan Samarahan-Kuching Expressway, tegas Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen. 

Jelasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya bertindak segera bukan hanya mengeluarkan kenyataan dan cadangan semata-mata. 

"Pada 2 Januari 2023, saya mengetengahkan isu kesesakan di laluan berkenaan disebabkan kerja-kerja naik taraf projek lamou isyarat di bulatan-bulatan di situ. 

"Pada masa itu, saya menggesa JKR meningkat pengurusan trafik di laluan berkenaan sementara kerja-kerja menaik taraf sedang dijalankan semasa waktu malam atau cuti umum. 

"Pada 3 Januari 2023, JKR mengeluarkan kenyataan berjanji untuk meningkatkan pengurusan trafik di laluan berkenaan dan mengarahkan kontraktor melakukan kerja-kerja mengetar jalan pada waktu malam. 

"Namun, semalam, keadaan trafik di situ masih sesak luar biasa hingga menyebabkannya kesukaran kepada pengguna di laluan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak, manakala Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi cuba "cuba cuci tangan" daripada bertanggungjawab menangani isu berkenaan dengan mengatakan projek berkenaan di bawah tanggungjawab JKR Sarawak. 

"Beliau mungkin lupa Menteri Kerja Raya Persekutuan dan Negeri daripada GPS, parti yang sama mentadbir kerajaan Sarawak. 

"Manakala beliau (Nanta) Setiausaha Agung PBB dan Menteri yang bertanggungjawab berkaitan kerja raya di peringkat negeri adalah Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang merupakan Timbalan Presiden PBB. 

"Jadi jangan beritahu saya beliau (Nanta) tidak dapat meminta rakan atau JKR Sarawak untuk berkerja lebih efisien dan efektif dalam menangani isu ini," tegasnya. 

Tambahnya lagi, walaupun sebagai pengguna jalan raya, memahami bahawa sentiasa ada beberapa tahap kesulitan yang disebabkan oleh mana-mana projek pembinaan jalan raya, tetapi tahap "ketidakselesaan" yang dialami oleh pengguna jalan raya di sepanjang laluan Kuching-Samarahan Expressway yang disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan adalah tidak dapat ditanggung lagi. 

"Ia bukan sekadar 'ketidakselesaan' tetapi 'penyiksaan'," ujarnya. 

Selain daripada dua arahan yang dikeluarkan oleh JKR, kata Chong, disarankan agar tiada penutupan jalan raya pada waktu siang dilakukan.

"Kedua, tempatkan lebih ramai anggota polis trafik malah RELA perlu dikerahkan untuk membantu mengarahkan lalu lintas. 

"Dengan kemenangan besar dalam pilihan raya dan bilangan ramai Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik ke Kerajaan Persekutuan, kami menjangkakan kedua-dua Kerajaan Negeri dan menteri Persekutuan akan lebih responsif terhadap penderitaan rakyat, bukan menolak tanggungjawab  dan berdiam diri," tegasnya lagi. 


Next Post Previous Post