Harga babi naik RM3 minggu depan?


DAP Sarawak minta kerajaan GPS guna kuasa autonomi stabilkan harga daging babi menjelang Tahun Baharu Cina

KUCHING-- Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen meminta kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membantu penternak babi di negeri ini untuk menstabilkan harga haiwan tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) ini.

Ahli Parlimen Stampin itu berkata, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin pada 30 Disember lalu telah mengadakan dialog bersama penternak babi dan pihak berkepentingan untuk mencapai satu persetujuan bagi menstabilkan dan tidak menaikkan harga babi menjelang TBC ini.

"Bagaimanapun, bidang kuasa Chan di bawah kementerian itu tidak mempunyai kuasa ke atas Sarawak kerana ia di bawah hak autonomi Sarawak dalam membuat keputusan dan dasar yang digunapakai di negeri ini.

"Justeru, kerajaan GPS diminta membantu penternak babi di Sarawak dalam bersama-sama menstabilkan harga babi menjelang TBC ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Chong, tanpa inisiatif dan usaha kerajaan pada 31 Disember 2022, dipercayai harga bagi akan meningkat iaitu dianggarkan naik RM3 sekilogram setiap minggu.

Katanya, Timbalan Menteri dari DAP itu mahu membantu menangani masalah tersebut namun terhalang disebabkan perkara berkaitan autonomi Sarawak.

"Jangan hanya mendakwa memperjuangkan hak autonomi Sarawak tetapi tidak menggunakannya sebaik mungkin untuk membantu rakyat dan menstabilkan harga babi.

"Saya telah membangkitkan isu ini semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu tetapi kementerian yang dipertanggungjawabkan tidak tampil dengan jalan penyelesaian yang seutuhnya," ujarnya.

Kata Chong lagi, meskipun SUPP mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ramai dalam Kabinet namun tidak dapat mengetengahkan isu ini dan menyelesaikannya.

"Jika YB Chan Foong Hin boleh lakukan sekurang-kurangnya menstabilkan harga babi di Semenanjung ketika menjelang TBC mengapa Sarawak tidak dapat lakukannya," tambahnya.
Next Post Previous Post