Berpayungkan 'langit' demi mencari rezeki


KUCHING-- Kisah kegigihan pasangan suami isteri mencari rezeki dengan menjual air minuman di tepi jalan di Metrocity, Matang sambil membawa anaknya yang tular di Facebook baru-baru ini menyentuh hati warganet.


Gambar pasangan yang menjual air minuman di tepi jalan itu yang berpayungkan 'langit' menjadi tular di media sosial oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Hafiz Hanis.


Hafiz dipetik berkata, "Bismillahirrahmanirrahim, semoga dimurahkan rezeki...Kesian tiada kanopi (berjual air minuman di tepi jalan). Harap ada yang bermurah hati sedekahkan kanopi untuk abang ini.


"Anak bininya (menemani abang ini) dalam kereta, menunggu dia berjual air minuman di hadapan sebuah kedai elektrik dan elektonik di Metrocity, Matang".


Kisah pasangan itu dimuat naiknya pada 25 Disember lalu dikongsi sebanyak 1,798 dan mendapat kira-kira 554 tanda 'like' dan 'love'.


Berikutan kisah pasangan ini, seorang pengguna Facebook dengan mengguna nama Muhd Hadni Ahmad tampil menghulurkan bantuan berupa kanopi untuk pasangan berkenaan bagi memberi sedikit keselesaan pasangan tersebut untuk berniaga di situ tanpa berpanas.


"Setiap perjalanan kehidupan pasti ada ujian dan dugaannya akan tetapi kita tetap sentiasa bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan.


"Heboh tentang saudara ini diviral sebab berpanas, hujan berjual air minuman depan Sengheng Metrocity sambil membawa isteri dan anak.


"Dengan izin Allah saya berbagi rezeki dengan saudara ini dan saya hadiahkan kanopi payung untuk dia berniaga," ujarnya.


Justeru, beliau berharap pasangan itu dimudahkan dan dilancarkan dalam usaha mencari rezeki di situ.

Next Post Previous Post