2023 diharap bawa kestabilan, kemakmuran berterusan untuk Malaysia- Fadillah


KUCHING-- Tahun Baharu 2023 diharap membawa kestabilan, kemakmuran dan keharmonian yang berterusan untuk Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Ekoran itu, beliau menyeru rakyat Malaysia bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan dalam mencari titik persamaan yang merentasi perbezaan kaum, agama dan fahaman politik, serta berpegang teguh kepada Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

"Moga 2023 membawa kestabilan, kemakmuran dan keharmonian berterusan untuk Malaysia tercinta.

"Marilah bersama-sama Kerajaan Perpaduan, mencari titik persamaan, merentasi perbezaan kaum, agama dan fahaman politik, serta berpegang teguh kepada Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya. 

Pada masa yang sama Fadillah juga menyeru rakyat Malaysia untuk menghidupkan roh perpaduan dan raikan perbezaan demi membina Negara Bangsa Malaysia yang stabil, aman, makmur dan harmoni.

"Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama melangkah ke Tahun Baharu 2023 selepas berdepan pelbagai cabaran pahit manis sepanjang 2022.

"Ayuh sama-sama kita bangkit untuk merangka dan menyusun atur kehidupan yang terkesan pasca COVID-19 dan berpadu tenaga menangani cabaran kelembapan ekonomi dunia," tegasnya. 

Baru-baru ini, Fadillah memberitahu perkembangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang beliau pengerusikan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beberapa kemajuan berhubung perkara itu akan diumumkan Januari ini.

"Insya-Allah awal Januari bila genap sebulan Kerajaan Perpaduan akan umumkan beberapa kemajuan jauh lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan.

"Perkara lain dalam perjanjian itu yang melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang, akan ditangguhkan sehingga sidang Parlimen akan datang," ujarnya. 


LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.