Tanah runtuh: Mayat dipercayai dua beranak ditemukan, angka korban meningkat 23 orang

Pasukan penyelamat masih berada di lokasi untuk mencari 10 mangsa lain. Gambar kredit Bomba Selangor

BATANG KALI— Dua lagi mayat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm berjaya dijumpai, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa maut setakat ini seramai 23 orang.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata mayat yang ditemukan dalam keadaan sempurna itu adalah seorang wanita lingkungan 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia antara dua hingga tiga tahun.


"Kedua-dua mayat telah ditemukan oleh pasukan penyelamat pada 1.05 tengah hari di kawasan Hillview (sektor A).


"Setakat ini pasukan penyelamat masih berada di lokasi untuk mencari 10 mangsa lain," katanya pada sidang media di lokasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi itu, di sini, hari ini.


Suffian berkata kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.


Pada itu beliau berkata pihak polis akan memanggil pengusaha tapak perkhemahan tersebut hari ini untuk tindakan susulan.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Datuk Norazam Khamis dalam sidang media sama memberitahu kedua-dua mayat itu ditemukan berhampiran antara satu sama lain pada kedalaman tiga kaki.


"Kami syaki mereka ini ibu dan anak berdasarkan maklumat yang kita dapat. Kedua-dua mangsa ditemui di lereng bawah kawasan Hillview berhampiran dengan kolam air," katanya, lapor Bernama.


Bagi mempercepatkan usaha mencari mangsa, Norazam berkata pihaknya memerlukan penambahan jengkaut.


Enam daripada 21 mangsa yang ditemukan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya telah dikenal pasti setakat 7 pagi tadi. 


Menurut kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), identiti mangsa dikenal pasti dengan pengecaman oleh waris atau menerusi ujian cap jari, manakala proses bedah siasat dan pengecaman mayat yang lain masih dijalankan.


Sementara itu, empat orang masih menerima rawatan di Hospital Selayang dan seorang di Hospital Kuala Lumpur manakala tiga yang menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu dibenarkan pulang semalam.


"Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa bencana akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab," menurut kenyataan itu.


Mangsa yang terkorban termasuk lima perempuan dewasa iaitu Lim Wei Xin, Hong Mei Jing, Lai Lee Koo dan seorang kanak-kanak lelaki, Tong Kai, 9 tahun.

Next Post Previous Post