Sarawak perlu sebuah lagi pusat jantung, Lukanisman

Lukanisman melawat salah seorang pesakit di Wad Kanak-kanak Hospital Miri hari ini, kelihatan sama Sebastian Ting. Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting.

MIRI— Pembinaan sebuah lagi pusat jantung di Sarawak akan dimasukkan ke dalam perancangan dasar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, satu-satunya pusat jantung negeri ini terletak di Kuching.


“Melihat kepada saiz Sarawak yang begitu besar dan peningkatan populasi penduduk, kita memerlukan sebuah lagi pusat jantung. KKM akan memasukkan cadangan pusat jantung ini dalam perancangan. 


Penubuhannya antara usaha KKM untuk memperluaskan perkhidmatan kesihatan jantung dan onkologi di negeri ini,” katanya semasa sidang media selepas lawatan ke Hospital Miri di sini hari ini.


Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting dan Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong.


Berikutan pusat rawatan jantung yang tidak mencukupi, rakyat dari utara Sarawak termasuk Limbang, Lawas dan Miri terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi bagi mendapatkan rawatan tesebut di Kuching.


Malah, terdapat penduduk di bahagian tersebut mendapatkan rawatan di Brunei kerana lokasi yang dekat walaupun terpaksa membayar dengan harga yang lebih mahal.


Sementara itu, Lukanisman yang juga Ahli Parlimen Sibuti berpuas hati dengan kemajuan projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri yang mendahului jadual asal iaitu 43.1 peratus.


“Kemajuan pembinaan mencapai 43.1 peratus berbanding jadual asal 38.5 peratus. Jadual siap kerja-kerja pembinaan adalah lebih awal dari jadual dirancangkan dan ini perkembangan yang sangat baik.


“Projek ini berdepan masalah kelewatan berikutan kekurangan tenaga kerja selepas pandemik Covid-19. Namun pihak kontraktor dan pihak Hospital Miri dapat melaksanakannya dan ia petanda baik hospital dijangka siap mengikut jadual,” katanya.


Sementara itu, Dr Jack Wong berkata, pada masa kini Hospital Miri mempunyai 1,700 kakitangan dan 345 katil. 


“Apabila siap nanti, jumlah kakitangan akan ditambah sehingga 2,600 kakitangan untuk berkhidmat di bangunan lama dan baharu,” katanya sambil menambah bangunan baharu setinggi lapan tingkat itu akan dilengkapi 328 katil.


Projek pembinaan bangunan tambahan itu bermula pada 2020 dani dijangka siap pada Disember 2023.

Next Post Previous Post