SEA Hibiscus, Repsol lunas bayaran RM79.41 juta SST Sabah


KOTA KINABALU—Dua syarikat minyak iaitu SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEA Hibiscus) dan Repsol Oil and Gas Ltd (REPSOL) telah membayar tunggakan Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM79.41 juta pada 3 Okt lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.


Menteri Kewangan II Negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata SEA Hibiscus membayar tunggakan SST berjumlah RM70.05 juta manakala REPSOL (RM9.36 juta), dan dengan pembayaran tunggakan tersebut, kedua-dua syarikat minyak berkenaan tidak lagi mempunyai hutang SST.


“Kedua-dua pihak syarikat juga sekarang telah mula membuat bayaran bagi cukai semasa,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Dilantik) yang ingin tahu berapa hutang SST REPSOL dan SEA Hibiscus sehingga Oktober tahun ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Assaffal P. Alian (Warisan-Tungku) yang mahu tahu apakah sebab kelewatan pembayaran SST daripada kedua-dua syarikat berkenaan sebelum ini.


Masidi berkata terdapat isu perundangan dipertikaikan oleh syarikat terbabit, namun, kerajaan Sabah telah memberi pandangan sebaliknya.


Beliau berkata ini termasuk memaklumkan bahawa kerajaan Sabah tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa penuh perundangan dan perlembagaan yang ada pada negeri itu untuk melaksanakan tuntutan SST ke atas syarikat tersebut.


“Alhamdulillah, pihak syarikat telah mengambil jalan untuk menyelesaikannya secara baik dan akur kepada tuntutan yang dibuat oleh kerajaan negeri. Saya sudah menganggap mereka ini (sebagai) rakan kita untuk membangun Sabah dengan persetujuan membayar cukai jualan,” jelasnya, lapor Bernama.


Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai ketika menjawab soalan lisan Yong berkata dasar Malaysia My Second Home (MM2H) bagi Sabah secara prinsipnya telah digubal serta dipersetujui di peringkat kerajaan negeri.


Beliau berkata kementeriannya bersama ahli jawatankuasa khas dilantik sedang dalam proses pemurnian syarat-syarat permohonan yang dijangka diumumkan pada awal depan.


“Sebelum pandemik COVID-19 melanda, Jabatan Imigresen telah menerima sebanyak 21 permohonan daripada empat negara iaitu China, Korea, Filipina dan United Kingdom.


“Permohonan ini juga secara prinsipnya telah diluluskan di peringkat jabatan itu, namun terpaksa ditahan buat sementara waktu semasa fasa pandemik ini sehingga dasar Sabah Malaysia My Second Home dilaksana.


“Apabila dasar Sabah Malaysia My Second Home diimplementasikan pada masa akan datang, kementerian saya yakin akan dapat menarik lebih banyak permohonan memandangkan kriteria-kriteria ditetapkan adalah lebih menarik,” katanya.


Beliau menjawab soalan Yong yang mahu tahu bilakah dasar dan syarat-syarat MM25 untuk Sabah diumumkan dan berapa bilangan permohonan dijangka serta daripada negara mana membuat permohonan tersebut.

Next Post Previous Post