RM1.88 bilion daripada RMKe-12 sudah dibelanjakan, Uggah

Sarawak telah menggunakan RM1.88 bilion setakat Oktober 2022, RM1.88 bilion daripada RMKe-12 sudah dibelanjakan

KUCHING—Sarawak telah menggunakan RM1.88 bilion setakat Oktober 2022 di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Beliau berkata perbelanjaan itu merangkumi 51 peratus daripada peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.66 bilion bagi pelaksanaan 953 projek di Sarawak.


“Dari segi prestasi fizikal, 427 projek berada di peringkat prapelaksanaan, 301 projek sedang dilaksanakan, 215 projek di peringkat pascapelaksanaan, sembilan projek sedang dinilai semula manakala satu projek dibatalkan.


“Saya menggesa semua agensi pelaksana supaya mempercepat pelaksanaan projek dan memastikan semua projek disiapkan mengikut jadual untuk mengelakkan kos berlebihan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan mengenai Belanjawan 2023 negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, pada Khamis, lapor Bernama.


Selain itu, beliau berkata Sarawak dijangka meraih manfaat daripada penempatan semula ibu negara Indonesia di Kalimantan Timur dari Jakarta sebelum ini.


Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua negeri berkata sehubungan itu, kerajaan negeri akan menjalinkan kerjasama ekonomi yang erat dengan kerajaan Indonesia khususnya di Kalimantan dalam pelbagai bidang.


“Antara inisiatif utama termasuk pembangunan ekonomi rentas sempadan melalui pembuatan dan perdagangan, memanfaatkan sumber asli dan hasil pertanian dari Kalimantan yang boleh digunakan untuk aktiviti pemprosesan hiliran di Sarawak.


“Pada masa yang sama, Sarawak mempunyai kemudahan pelabuhan yang menyediakan rangkaian perkapalan lebih pantas dan lebih baik ke ekonomi utama seperti China dan India,” katanya.


Uggah berkata bagi memudahkan perdagangan serta memastikan rangkaian dan komunikasi yang lebih baik dalam kalangan peserta industri, pelabur dan komuniti perniagaan di Sarawak dan Indonesia, kerajaan negeri juga akan menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan di Pontianak, Kalimantan Barat, yang akan menjalankan fungsi yang sama seperti Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak Singapura (STATOS).

LihatTutupKomentar