Sabah selia gas sendiri, kata Anwar

"Menerusi pemindahan kuasa kawal selia itu, penetapan harga dan perjanjian baharu bekalan gas di Sabah akan ditentukan oleh kerajaan negeri." Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA-- Kerajaan bersetuju untuk memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata perkara itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Beberapa isu besar dapat kita luluskan umpamanya hari ini untuk gas, kita pindahkan kuasa kawal selia bekalan gas yang dahulunya di peringkat PETRONAS Persekutuan, dipindahkan kepada Sabah.


"Ini berlaku untuk Sarawak, dan kini buat Sabah pula, tentunya tarikh pelaksanaan menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, jadi proses itu saja, tapi kelulusan Kabinet dah diperakui hari ini," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini hari ini, lapor Bernama.


Berkuat kuasa 1 Jun 2021, kerajaan Sarawak mempunyai kuasa penuh bagi mengawal selia aktiviti pengedaran gas di Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan memberi pengecualian mendapatkan kebenaran di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1962.


Anwar berkata menerusi pemindahan kuasa kawal selia itu, penetapan harga dan perjanjian baharu bekalan gas di Sabah akan ditentukan oleh kerajaan negeri.


"Kuasa peletakan harga dan perjanjian baharu itu dahulunya diputuskan di pusat, tetapi dengan pemindahan kuasa, pemindahan ini menetapkan kuasa ke Sabah, tapi tentunya ada proses rundingan, tapi proses itu kepada kerajaan negeri," katanya.


Mengenai perkembangan MA63, beliau berkata beberapa kemajuan berhubung perkara itu akan diumumkan bulan depan.


"Seperti kita tahu (ia) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, (saya) bagi tempoh sebulan, insya-Allah awal Januari bila genap sebulan kita akan umumkan beberapa kemajuan jauh lebih baik untuk selesaikan sebahagian besar isu yang dibangkitkan," katanya.


Beliau berkata perkara lain dalam perjanjian itu yang melibatkan perundangan dan pindaan undang-undang, akan ditangguhkan hingga sidang Parlimen akan datang.


Pada 5 Dis lepas, Anwar dilaporkan berkata Fadillah diberikan tugas untuk memastikan semua perkara yang masih tersangkut dalam MA63 disegerakan. 


Walaupun kebanyakan terma dalam perjanjian itu sudah dapat diselesaikan tetapi beberapa isu masih menimbulkan keresahan dalam kalangan pemimpin di Sarawak dan Sabah.


Sebelum ini Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan meminta Kerajaan Persekutuan memudahkan rundingan untuk mengembalikan hak Sarawak di dalam MA63 yang sudah terhakis dan berharap rundingan terhadap beberapa perkara mencapai keputusan positif.

Next Post Previous Post