Tukang tilik warga India tipu wanita lebih RM500,000 didakwa di mahkamah


BUKIT MERTAJAM-- Seorang tukang tilik warganegara India mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu melibatkan wang berjumlah RM516,450 dalam kejadian sekitar tahun ini.


N.Prakash, 24, membuat pengakuan itu di hadapan majistret Mohd Harith Mohd Mazlan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.


Prakash didakwa menipu M. Punitha dengan memperdayakan wanita itu untuk mempercayai bahawa dia boleh mengubat penyakit dan menilik nasib, sehingga mendorong Punitha menyerahkan wang berjumlah RM516,450 kepadanya.


Kesalahan didakwa dilakukan di Lorong Perda Selatan 2, Bandar Perda di sini sekitar Mac hingga Oktober tahun ini di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.


Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh diwakili peguam R. Kumarappan.


Mahkamah menetapkan jaminan RM8,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri dua minggu sekali kepada pengawai penyiasat sehingga kes selesai.


Mahkamah juga menetapkan 31 Jan 2023 sebagai tarikh sebutan semula dan serahan dokumen.

Next Post Previous Post