Polis Malaysia, Indonesia perkukuh kerjasama tangani jenayah rentas sempadan


JAKARTA— Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Indonesia akan memperkukuh kerjasama dalam memerangi jenayah rentas negara termasuk mempercepat kaedah pengendalian penjenayah yang melarikan diri merentasi sempadan kedua-dua negara.


Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat perundingan dua hala antara Bahagian Perhubungan Antarabangsa PDRM dan Polis Indonesia yang berlangsung di sini baru-baru ini.


Ketua agensi siasatan jenayah Polis Indonesia Krishna Murti berkata Malaysia boleh menolak kemasukkan pejenayah warga Indonesia yang melarikan diri atau memulangkan mereka ke Indonesia.


“Hal yang sama akan dilakukan Indonesia dan penggunaan mutual legal assistance (MLA) atau ekstradisi bakal dijadikan pilihan terakhir,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Bernama.


Polis Indonesia juga bercadang menubuhkan Pejabat Perhubungan Jenayah Transnasional Sempadan  untuk meningkatkan pengawasan sempadan negaranya.


Menurut Krishna, kewujudan pejabat itu akan mendorong koordinasi secara langsung dua pihak agar masalah dapat diselesaikan dengan cepat dan tepat tanpa merujuk ibu pejabat.


Selain menjadi agenda ASEAN, mesyuarat pada Khamis lalu mengoptimumkan dialog aktif dan mengukuhkan pembinaan kapasiti polis dua negara seiring perkembangan jenayah lintas negara yang pelbagai.


Ketua polis Indonesia Listyo Sigit Prabowo merupakan Pengerusi ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC) dan Krishna sebagai Pengerusi Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC).

Next Post Previous Post