Pelumba haram dipenjara, manakala ibubapa, pemilik bengkel dan kaki ubahsuai enjin, ekzos motosikal berdepan denda RM10,000


PUTRAJAYA: "Ibu bapa yang membenarkan motosikal mereka digunakan untuk tujuan lumba haram dan pengusaha bengkel yang melakukan pengubahsuaian kepada kenderaan dua roda itu juga boleh dikenakan denda," kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Isham Ishak lapor Berita Harian Online hari ini. 


Kaki ubahsuai enjin dan ekzos motosikal dan merempit bakal berdepan hukuman yang lebih berat berikutan cadangan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga tahun hadapan.


Datuk Isham Ishak, berkata dalam cadangan pindaan itu, menaikkan denda sehingga RM10,000 berbanding RM300 yang dikenakan sekarang bagi kesalahan mengubahsuai ekzos dan enjin motosikal.



"Mereka yang menyertai lumba haram juga bakal berdepan hukuman penjara mengikut peruntukan baharu dalam akta berkenaan, jika disabitkan bersalah di mahkamah.


Jelasnya, peningkatan jumlah denda dan pelaksanaan hukuman penjara itu dicadangkan melalui pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


"Ketika ini proses untuk pindaan akta itu di peringkat Amalan Baik Peraturan (GRP) membabitkan pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan," tambah Isham. 



Dalam pada itu, beliau memberitahu tindakan merempit khususnya oleh anak muda tanpa mengendahkan undang-undang hingga sanggup berlumba di jalan raya menyebabkan ada keperluan untuk menaikkan jumlah saman.


Tegasnya, sebelum ini denda dikenakan hanya berjumlah RM300 menyebabkan mereka boleh bayar dan tiada kesedaran, jadi kita mencadangkan ia dinaikkan sehingga RM10,000.


"Denda dicadangkan itu, denda bukan sahaja akan dikenakan kepada mat rempit tetapi juga ibu bapa yang membenarkan motosikal mereka digunakan dan pengusaha bengkel yang membuat ubah suai itu.



"Apa yang kita lihat, kegiatan merempit ini bukan sahaja untuk kepuasan sendiri, namun bagi perlumbaan haram dan kegiatan tidak sihat," katanya.


Mengulas lanjut, Isham menegaskan pihaknya mahu usaha ke arah pindaan ini membabitkan proses GRP kerana mahu pelaksanaan undang-undang itu bersifat efektif dengan mengambil kira pandangan semua pihak.


Katanya, pihaknya tidak mahu apabila hendak memperkenalkan peraturan baharu itu nanti berlakunya tindakan U-Turn. 


"Kita mahu ia efektif dan majoriti pihak berkepentingan setuju," katanya.


Isham berkata, aktiviti merempit termasuk dengan mengubahsuai ekzos dan enjin yang disalah guna untuk melakukan aktiviti berbahaya di atas jalan, termasuk berlumba atau memandu secara berbahaya


Katanya, tindakan penguatkuasaan yang efektif itu penting bagi membendung kemalangan jalan raya, khususnya membabitkan motosikal.


Berdasarkan fakta, bagi tempoh 10 tahun lalu, kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan bilangan paling tinggi, iaitu kira-kira 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di jalan raya.


"Saya percaya peningkatan jumlah denda melalui penguatkuasaan adalah kawalan terbaik dalam mendidik pengguna jalan raya, khususnya 'mat rempit'," ujarnya. 


Selain itu, beliau memberitahu, Kementerian Pengangkutan juga akan mengusulkan supaya pembinaan jalan persekutuan dan negeri baharu perlu mempunyai laluan khas bagi motosikal.


Cadangan itu katanya sudah dibincangkan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta akan dibawa ke Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) tahun depan.


Kerajaan melalui Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030 yang dilancarkan Januari lalu telah menetapkan sasaran mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus menjelang tahun 2030.


Di bawah pelan keselamatan itu juga, jelasnya, kementerian sudah pun mewajibkan pemasangan sistem brek antikunci (ABS) kepada kategori motosikal 150cc ke atas mulai 1 Januari 2025.


"Bila melihat statistik kemalangan, selalu berlaku kegagalan mengawal motosikal bila tergelincir, dengan adanya ABS, kawalan kenderaan boleh dibuat dengan lebih baik," katanya.


Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 418,237 kes nahas jalan raya direkodkan pada 2020 dengan 4,634 kematian, manakala bagi tempoh Januari hingga September 2021 pula, sebanyak 255,532 nahas jalan raya direkodkan dengan 3,302 kes kematian.


Laporan tentang isu ini juga pernah disiarkan oleh Free Malaysia Today pada jam 5:13 pm 9 Ogos, 2022.

Next Post Previous Post