Abang Johari ulangi sokongan GPS terhadap Kerajaan Perpaduan seperti yang dicadangkan Agong demi kestabilan negara

Abang Johari ulangi sokongan Ahli-Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Abang Johari ulangi sokongan GPS terhadap Kerajaan Perpaduan

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ulangi sokongan Ahli-Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) ke atas Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim mengikuti seperti yang dicadangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong.


Tegasnya, ini kerana apa yang lebih penting ketika ini ialah kekukuhan dan kestabilan pentadbiran negara.


Justeru, kata Abang Johari, pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri dan empat menteri penuh dari Sarawak dalam Kabinet Perpaduan, merupakan tanggungjawab besar yang diberikan kepada Sarawak.


"Ini bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar untuk tempoh lima tahun lagi kerana bagi Kerajaan GPS yang lebih penting mengatasi segala yang lain ialah kepentingan dan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


"Platform politik yang bebas melalui pembentukan GPS merupakan langkah yang sebaik-baiknya untuk mempastikan suara Sarawak tidak akan tenggelam di persada nasional," katanya menerusi Perutusan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2023 hari ini.


Katanya lagi, tidak ada yang lain yang lebih ikhlas daripada orang Sarawak sendiri dalam perjuangan menegakkan keadilan bagi Sarawak.


Selain itu, Abang Johari berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baharu sahaja selesai dan rakyat Sarawak telah memberi sokongan yang kuat kepada GPS pimpinan beliau untuk membawa suara Sarawak ke Parlimen. 


"Sebagai Ketua Kerajaan GPS saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada rakyat Sarawak yang telah memberi kepercayaan kepada GPS untuk terus menggalas tanggungjawab menjaga kepentingan Sarawak," ujarnya.


Untuk rekod, wakil Sarawak yang dilantik dalam kabinet Perpaduan ialah Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang melakar sejarah baharu apabila beliau menjadi Ahli Parlimen pertama dari Sarawak menjawat jawatan itu.


Sementara itu empat lagi wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam kabinet persekutuan juga menteri penuh ialah Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang dilantik sebagai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.