Hanya di Sarawak orang Kristian dan Islam boleh hidup di bawah satu bumbung


KUCHING-- Sarawak terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


Jelasnya, hanya di Sarawak mendapati keluarga orang Kristian dan orang Islam boleh hidup di bawah satu bumbung.


"Sarawak juga gereja dan masjid tidak menghadapi masalah dengan kedudukan bersebelahan dan saling bantu-membantu bagaikan sebuah keluarga," katanya dalam Perutusan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2023 hari ini.


Pada masa yang sama beliau turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua rakyat Sarawak yang meraikan hari yang amat besar maknanya kepada orang-orang Kristian.


"Saya pasti inilah masa yang ditunggu-tunggukan oleh orang-orang Kristian sebagai puncak kepercayaan yang dianuti. 


"Namun, apa yang amat unik di Sarawak ialah penganut-penganut agama lain turut berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan mereka yang beragama Kristian pada musim perayaan ini," ujarnya.


Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan, tiada unsur-unsur ekstrimisme mana-mana agama yang akan dibiarkan untuk menjejaskan keharmonian masyarakat dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini. 


Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberi jaminan kebebasan beragama di Sarawak akan sentiasa dipelihara dan dipertahankan. 


Tegasnya lagi, menerusi kuasa autonomi imigresen, Sarawak mampu menyekat pelampau-pelampau agama untuk menjejakkan kaki ke negeri ini. 


"Kita merasa bertuah kerana agak terlindung daripada persengketaan agama dan kaum yang sering berlaku di tempat-tempat lain. 


"Namun, Sarawak tidak kalis sepenuhnya daripada unsur-unsur ekstremis yang datang ke Sarawak melalui saluran siber seperti media-media sosial yang biasanya untuk kepentingan politik pihak tertentu," katanya.


Tambah Abang Johari, benteng yang akan menangkis daripada anasir-anasir itu hanyalah kebijaksanaan rakyatnya sendiri untuk menapis apa yang baik daripada yang jahat dan yang fakta daripada yang auta.


Menyentuh tentang ekonomi, beliau memberitahu, Sarawak diyakini dapat terus meningkatkan hasil negerinya yang kini berjumlah kira-kira RM11 bilion, iaitu yang terbesar setakat ini dalam sejarahnya.


Katanya, Sarawak sedang dalam menubuhkan dana kekayaan berdaulat kerajaan sendiri yang menyimpan dan melabur untuk generasi masa depan rakyat Sarawak.


Jelas Abang Johari, undang-undang penubuhan dana kekayaan berdaulat itu baru sahaja diluluskan di Dewan Undangan Negeri yang sepatutnya berkuatkuasa menjelang 2024 dengan suntikan modal permulaan RM8 bilion.


"Dana ini bukan sahaja akan menyediakan untuk rakyat Sarawak semasa kecemasan tetapi mungkin membolehkan kita menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat Sarawak pada masa hadapan," katanya.

Next Post Previous Post