Banjir di Sarawah uji persiapan JPBN, Uggah


KUCHING-- Persiapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sejak berbulan-bulan lepas bagi menghadapi situasi banjir berikutan Monsun Timur Laut mula teruji selepas beberapa lokasi di Sarawak dilanda banjir, malam tadi.


Pengerusi JPBN Sarawak yang juga Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tenaga kerja daripada beberapa agensi sudah digerakkan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat yang terjejas akibat bencana itu di negeri itu terus terjaga.


“Kami sedang bersedia untuk senario terburuk. Semua jabatan-jabatan kerajaan sudah berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya. Mereka mempunyai tenaga kerja yang mencukupi serta peralatan yang semuanya sudah bersiap siaga,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN di Wisma Bapa Malaysia hari ini, lapor Bernama.


 Menurutnya, Sarawak mempunyai sejumlah 4,854 tenaga kerja yang terlibat dalam pengurusan banjir itu antaranya 1,126 petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, 868 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan 888 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM). 


Seramai 1,245 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak juga terlibat dalam pengurusan menghadapi situasi banjir di negeri ini.


Laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak setakat pukul 9.00 pagi tadi memaklumkan sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka bagi menempatkan 139 mangsa daripada 34 keluarga yang terjejas banjir.


PPS terlibat ialah Balai Raya Kampung Opar dan Balai Raya Kampung Jugan di daerah Bau melibatkan 44 mangsa daripada 16 keluarga; Dewan Kampung Bedaun di Kuching melibatkan 75 mangsa daripada 14 keluarga; dan Dewan Suarah Kota Samarahan dengan 20 mangsa daripada empat keluarga.


Uggah berkata kesemua PPS itu dipantau rapi oleh agensi terlibat bagi memastikan segala keperluan mangsa dipenuhi, dan semua pejabat Residen di Sarawak yang memantau bencana di peringkat bahagian dan daerah turut mengaktifkan bilik gerakan masing-masing.


Jabatan Kerja Raya negeri juga sedang memantau kawasan-kawasan banjir dan sering berlaku kejadian tanah runtuh untuk mengambil langkah segera sekiranya terjadi kerosakan infrastruktur jalan dan jambatan, katanya.


“Kita juga sudah meminta Sarawak Energy Bhd (pembekal elektrik negeri) untuk memantau fasiliti mereka ekoran kes (kejutan elektrik) di Kelantan dengan mendidik masyarakat setempat untuk sama-sama berjaga-jaga (bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini),” katanya.

Next Post Previous Post