Tiga lagi daerah di Sabah dilanda banjir

Daerah Tenom, Keningau dan Sipitang dilanda banjir di Sabah, Tiga lagi daerah di Sabah dilanda banjir
Keadaan banjir di daerah Tenom. Gambar media sosial

KOTA KINABALU-- Tiga lagi daerah iaitu Tenom, Keningau dan Sipitang dilanda banjir di Sabah, selepas Kunak dan Penampang, sekali gus menyebabkan mangsa banjir meningkat mendadak kepada 724 mangsa daripada 201 keluarga, berbanding 75 orang daripada 14 keluarga pagi tadi.


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan tujuh lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka petang ini iaitu tiga di Tenom, Keningau (2) serta dua di Sipitang, lapor Bernama.



Seramai 298 mangsa daripada 80 keluarga dipindahkan di Tenom dengan PPS Rumah Kebudayaan Makakagas menempatkan 259 mangsa daripada 71 keluarga; Rumah Kebudayaan Kalang Kanar (29 mangsa, tujuh keluarga) dan Rumah Kebudayaan Gunting (10 mangsa, dua keluarga).


Sementara itu di Keningau sebanyak 296 mangsa daripada 87 keluarga dipindahkan melibatkan PPS Dewan Gereja Kampung Senangang (199 mangsa, 40 keluarga) dan PPS Sekolah Kebangsaan Pekan Keningau 2 (97 mangsa, 47 keluarga).



Di Sipitang, seramai 55 mangsa banjir membabitkan 20 keluarga dipindahkan membabitkan PPS Dewan Mini Mesapol (47 mangsa, 18 keluarga) dan PPS Dewan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Chung Hwa Mesapol (lapan mangsa, dua keluarga).


Menurut kenyataan itu PPS Dewan Kampung Airport Tun Fuad di Kunak yang dibuka semala masih menempatkan 66 mangsa daripada 13 keluarga manakala PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang yang dibuka awal pagi tadi turut mengekalkan penempatan sembilan mangsa daripada satu keluarga.


“Trend semasa mangsa banjir ketika ini meningkat, manakala hujan lebat telah berhenti pada petang ini,” menurut kenyataan itu.


Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran dalam laman sesawangnya memaklumkan Sungai Pegalan di Ansip, Keningau yang melebihi tahap bahaya pagi tadi menurun ke paras normal petang ini, manakala Sungai Padas di Tenom meningkat ke tahap amaran pada 176.91 meter (m) berbanding 157.57m pagi tadi.


Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan turut memaklumkan Jalan Amboi 1 di Tenom ditutup dan tidak selamat untuk dilalui orang ramai ekoran kerosakan jalan akibat banjir kilat.


“Orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Tenom-Kuala Tomani,” menurut JKR.


Menurut jabatan itu, Jalan Beaufort di Menumbok tidak boleh dilalui kenderaan kecil petang ini berikutan banjir akibat limpahan air Sungai Padas, justeru penduduk dinasihatkan menggunakan laluan alternatif di Jalan Limbawang Bypass.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.