Penduduk Rumah Senuat diancam tanah runtuh

Keadaan tanah runtuh Rumah Senuat Jalan Bintulu-Miri tengah hari tadi. Gambar BBP Bintulu

BINTULU--Dua unit kediaman di Rumah Senuat Jalan Bintulu-Miri diancam tanah runtuh yang berlaku pada bahagian belakang rumah mereka tengah hari tadi.


Insiden terbabit dipercayai berlaku selepas hujan lebat yang melanda bahagian ini sejak petang semalam.



Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad dalam satu kenyataan hari ini berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu bergegas ke lokasi runtuhan sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada 12.44 tengah hari.


Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati berlakunya runtuhan serta mendapan tanah pada bahagian belakang dua buah kediaman penduduk di situ. 



"Pemeriksaan yang dijalankan mendapati runtuhan yang berlaku turut merosakkan bahagian belakang dua buah kediaman berkenaan," ujar Wan.


Pasukan bomba dalam masa sama menasihatkan penghuni rumah agar berhati-hati dan berpindah ke lokasi selamat sekiranya runtuhan masih berlaku.


Setelah keadaan didapati benar-benar selamat, pasukan bomba bertolak balik semula ke balai pada  jam 2 petang.

Next Post Previous Post