PRU15 : Nak cari pemimpin, pertama cari yang elok, kedua cari yang pandai
Oleh Jasmin Hussaini
Acapkali saya ditanya senario politik khasnya pra pilihan raya.
Seboleh-bolehnya saya mahu elakkan bicara kerana ia begitu memualkan.
Manakan tidak, segelintir pemimpin hilang dan datang, janji bulan dan bintang ditaburkan.
Pun begitu setiap individu ada tanggungjawab memilih, beri pendapat dan bersuara seadanya.
Ini sekadar pendapat neutral peribadi tidaklah berminat menyebelahi mana-mana blok parti.
Politik tempatan bukanlah sesuatu rumit untuk difahami, kita hanya perlukan adunkan teori politik, data, fakta, sejarah dan sedikit "common sense."
BENARKAH GPS UMPAMA LALANG?
Ramai yang persoalkan, “mengapa GPS tak tetapkan awal nak sertai gabungan bolok PH,PN atau BN ?
Mengapa nak tunggu keputusan pilihanraya baru nak tetapkan keputusan ?"
Adakah langkah ini bermaksud GPS tiada pendirian?
Baiklah, mengikut norma politik mana-mana parti di seluruh dunia perlu ada pengimbangan kuasa “balance of power” supaya tidak dibuli oleh kerajaan pusat.
Caranya samada meningkatkan kekuatan sendiri atau menggabungkan kekuatan.
Oleh itu, tiada istilah lalang kerana GPS sememangnya perlu berkerjasama dengan mana-mana blok yang membentuk kerajaan pusat jika mahu mewujudkan keseimbangan kuasa.
Maka tidak hairanlah Premier Sarawak pernah berkata bahawa, GPS akan menyokong mana-mana parti yang boleh membentuk kerajaan persekutuan yang kuat dan stabil selepas PRU 15.
Sejarah membuktikan bahawa GPS berperanan penting membentuk kerajaan baru.
Dua kali pilihan raya majoriti undi dari GPS membentuk kerajaan.
Malahan PRN pada lepas, GPS menang 76 daripada 82 kerusi.
ISU: KITA BAKAL MEMILIH AHLI PARLIMEN
Persoalannya jika berlaku keputusan sengit dalam PRU kali ini, GPS nak menyertai blok mana?
Menyertai Pakatan Nasional (PN) mungkin pasti, Barisan Nasional (BN) tidak pasti? Pakatan Harapan (PH) pasti tidak.
Menyertai blok PN atau BN selepas pilihan raya sebenarnya menjadikan Council Negeri pihak paling berkuasa membuat keputusan berkaitan rundingan dengan kerajaan persekutuan terutama perkara yang berkaitan pindaan perlembagaan.
Antara buktinya, tuntutan MA 63 berkenaan mengembalikan 35% kerusi parlimen untuk Sarawak dan Sabah telah dipersetujui secara prinsip oleh kerajaan persekutuan lalu.
Natijahnya, PRU 15 adakah potensi GPS untuk menyertai gabungan PH selepas pilihan raya?
Memetik kata-kata Abdul Karim Hamzah (Naib Presiden GPS) menegaskan bahawa sukar bagi GPS menjalin sebarang kerjasama dengan PH sebelum mahupun selepas pilihan raya.
Hal ini mudah difahami kerana sejarah pahit kerajaan 22 bulan, PH membatalkan banyak projek bersakala besar dan kecil kerajaan negeri Sarawak cukup perit untuk dilupakan.
Antaranya membatalkan projek jambatan Igan, jambatan Rambungan, Batang Sadong, projek membaiki sekolah daif di pedalaman bernilai RM 2 billion, perojek membina rumah ibadat serta lain-lain projek untuk rakyat.
Wakil ahli parlimen Sarawak dari parti PH pula diam membisu.
Keputusan ini agak skeptikal.
Mengapa disebabkan sentimen politik, bajet pembangunan asas rakyat menjadi mangsa?
Walhal bajet datangnya dari wang rakyat bukannya wang parti.
Bukankah sebuah kerajaan yang dibentuk oleh mana-mana parti politik perlu ikhlas memperjuangkan hak rakyat?
JIKA PH MENANG, APA KESANNYA TERHADAP GPS ?
Hal ini memposisikan Sarawak sebagai negeri pembangkang.
Rasional potensi PH menawarkan kerjasama dengan calon bebas lebih tinggi tambahan pula berdasarkan sejarah lampau sememangnya GPS berpatah arang dengan PH.
Mampukah kerajaan negeri memperoleh bajet pembangunan tanpa terlalu bergantung harap dengan kerajaan pusat?
Tahun 2022 bajet negeri berjumlah RM 11.71 billion.
Oleh itu berdasarkan norma politik, kerajaan negeri akan meningkatkan kekuatan sendiri khususnya aspek ekonomi.
Pastinya kerajaan negeri sudah bersedia melakukan transformasi ekonomi dan pelbagaikan sumber kewangan supaya mampu memacu pembangunan.
Berdasarkan rekod, Cukai Jualan Negeri (SaST) sebanyak 5% ke atas produk petroleum sahaja, telah meningkatkan hasil pendapatan Sarawak melebihi 10 bilion setahun untuk melaksanakan projek pembangunan.
Disamping itu, jika kerajaan negeri berjaya memperhebat dan menyokong bidang digital , membangunkan industri hiliran, meneroka industri baharu berasaskan teknologi hijau, mengkomersialkan dan memodenkan sektor pertanian dan makanan, merancakkan pembangunan sektor pembuatan, perkhidmatan, pelancongan, industri kreatif pastinya dapat memanfaatkan golongan muda.
MAMPUKAH KERAJAAN NEGERI MANDIRI?
Jika kerajaan negeri berjaya meningkatkan Gross Domestic Product (GDP) maka ekonomi negeri akan berkembang pesat.
Secara amnya lebih banyak peluang pekerjaan boleh dihasilkan dan kadar pengangguran dapat dikurangkan.
Cabaran menjayakan misi ini ditentukan oleh tadbir urus cekap dan berintegriti yang dipikul oleh ahli parlimen GPS berserta 14 calon barunya.
Sarawak Sovereign Wealth Future Fund atau Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak manifestasi komitmen GPS terhadap masa depan anak Sarawak.
Persoalan sama ada GPS menyertai PN, BN atau PH segalanya boleh jadi kerana dalam politik tiada musuh yang kekal, tiada lawan yang kekal.
APA FAEDAHNYA UNDI BERDASARKAN CALON BUKANNYA PARTI SERTA CALON BEBAS ?
Mungkin ramai dalam dilema tentang pilihan nak undi calon atau parti?
Malaysia negara yang beracuankan demokrasi UK, terpaksa membiarkan kuasa pilih PM ditangan parti. Demokrasi kita tak sama seperti di US.
Mereka undi Ketua Negara (Presiden).
Manakala di Malaysia, kita undi calon parlimen yang akan membentuk kerajaan yang seterusnya akan pilih PM untuk ketuai negara.
Pun begitu, calon parti bebas juga ada baiknya.
Ada dalam kalangan mereka mampu jalankan tugas dengan baik tanpa terikat dengan sesiapa, bersungguh-sungguh jaga kebajikan kawasan parlimen.
DEMOKRASI SEBENAR
Demokrasi sebenar mampu dikecapai apabila negara memiliki rakyat yang matang memahami demokrasi dan amalkannya.
Caranya hanya dengan memiliki pilihan mutlak dalam kuasa menentukan pemimpin mereka dan bukannya mengundi hanya kerana parti dan wajah ketuanya.
Asasnya, jika kita pilih MP yang berkualiti, ketuanya yang dipilih kelak sebagai PM pun terpaksa kerja dengan baik dan tak bermain-main menguruskan negara.
Sementara itu, jangan pula biarkan calon-calon yang berkualiti patah semangat kerana mendapat undi “ciput” lalu mereka tidak mahu lagi bertanding.
Disitulah kita mula gagal apabila orang-orang berkualiti mula menjauhkan diri dari politik.
Sekurang-kurangnya dengan undi anda mereka akan berkerja keras lagi memenangi hati rakyat mencuba lagi PRU akan datang.
PILIHAN MALAYSIA
Rakyat Malaysia secara umum memilih pemimpin berdasarkan ciri "keayahan", belum lagi sampai masa kita mengangkat tokoh seperti Ceasar untuk melanggar sistem demi mencapai kehendak popular.
Tok Nan, Muhyiddin Yasin , Ismail Sabri Yaakob (Pak Long) antara contoh pemimpin bertokoh " keayahan".
Adakah pengundi seawal umur 18 tahun mampu mengubah lanskap politik negara?
Orang tua pernah berpesan; kalau nak mandi cari dua, pertama cari telok, kedua cari pantai. Nak cari pemimpin, pertama cari yang elok, kedua cari yang pandai.
*Jasmin Hussaini bertugas sebagai seorang pendidik, kerap mencatat anekdot menarik di media sosial dan menerima pelawaan Borneo Network berkongsi pandangan mengenai politik Sarawak bersempena PRU15. Sejujurnya, tulisan beliau sangat bersahaja, tapi penuh dengan hujah mesra pembaca berbanding garapan sesetengah tokoh akademik yang bersifat seperti buku teks KPM.
Ini adalah pandangan peribadi penulis, dan kami di Borneo Network meraikan pendapat semua pihak.