Tan lapor polis dakwa calon GPS Stampin difitnah


KUCHING—Setiausaha Publisiti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Batu Kitang, Tan Soon Huat membuat laporan polis susulan satu klip video memfitnah calon Parlimen Stampin, Lo Khere Chiang.


Klip video yang tular itu menurut Tan, telah disunting untuk memutar belit maksud asal Khere Chiang yang sedang ditemu bual dengan tujuan niat jahat sehingga menimbulkan rasa tidak senang dan salah faham.


“Saya menerima klip video semalam dan selepas melihat rakaman video itu, didapati ia adalah video daripada Youtube yang dibuat pada 6 Oktober 2021 iaitu temu bual selama dua jam.


Fitnah itu bertujuan memburukkan Khere Chiang agar pengundi menentangnya. Ini adalah kaedah jahat yang tidak seharusnya berlaku,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan polis hari ini.


Laporan polis itu katanya, bagi membolehkan siasatan dilakukan dan menjelaskan kepada umum bahawa video itu hanya disunting untuk memburukkan Lo Khere Chiang.


Tan berharap semua orang ramai tidak terpengaruh dengan klip video tersebut, namun menilai prestasi dan kebaikan yang dilakukan oleh Khere Chiang selama ini.

Next Post Previous Post