Derita 22 bulan jangan dilupakan, pesan Zahid kepada pengundi awal
BAGAN DATUK—Kesengsaraan rakyat selama 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) perlu dijadikan iktibar dan ia tidak harus dilupakan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai janji tidak dilaksanakan kerajaan PH, membuatkan rakyat berasa tertipu dengan manifesto yang ditawarkan pada PRU14.
"Selama 22 bulan rakyat tidak memperoleh apa yang telah dijanjikan PH apabila berjaya membentuk kerajaan dan rakyat telah mengalami kerajaan yang gagal, lapor Bernama.
"Jadi, saya memohon kepada semua pengundi-pengundi awal yang telah mengalami penderitaan pada PRU14 yang lepas agar kembali menyokong calon-calon BN pada PRU15 kali ini," katanya.
Penyandang Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi ramah mesra bersama komuniti Perumahan Awam Bagan Datuk di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN akan melaksanakan setiap janji dalam manifesto yang ditawarkan untuk semua golongan dan kaum di negara ini.
"Sepuluh teras dan 99 tawaran dalam manifesto yang telah kita perincikan, Insya-Allah, apa yang kita sebutkan itu akan dilaksanakan jika kembali memerintah.
"Kita juga menggambil kira semua pengundi-pengundi awal terdiri daripada yang beruniform dan juga petugas-petugas pilihan raya, Insya-Allah, kita akan penuhi sepenuhnya," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov sebagai hari pengundian manakala 15 Nov iaitu esok bagi pengundian awal pada PRU15.