Notification

×

Iklan

Iklan

PM umum 18, 19 November cuti umum sempena PRU15

| November 14, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-14T11:53:04Z



PUTRAJAYA—Kerajaan mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.


Beliau berkata Sabtu, 19 Nov itu turut diumumkan sebagai hari kelepasan am kerana terdapat kemungkinan syarikat-syarikat swasta, terutamanya kilang yang tidak tutup pada hari berkenaan, menyebabkan pekerja mereka tidak boleh mengundi, lapor Bernama.


“Hak mengundi adalah hak yang dijamin oleh perlembagaan dan saya tidak mahu satu orang pun yang dihalang daripada mengundi,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Wisma Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Putrajaya di sini hari ini.


Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat dan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala esok ialah hari pengundian awal.


Pada 7 Nov, Cuepacs mencadangkan kerajaan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 Nov untuk memudahkan pergerakan rakyat Malaysia ke lokasi mengundi pada PRU15, dan pada 8 Nov, Ismail Sabri dilaporkan berkata cadangan itu akan dipertimbangkan.


Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju supaya tarikh pembayaran gaji untuk penjawat awam bagi November 2022 diawalkan pada 17 Nov dan untuk pesara pula, bayaran pencen diawalkan pada 14 Nov.

“Ini diharapkan dapat meringankan beban kos penjawat awam yang ingin pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.


Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju menawarkan kadar tol percuma selama dua hari sempena PRU15, bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi.


“Tol percuma tersebut akan bermula dari pukul 12.01 tengah malam 18 Nov (Jumaat) hingga 11.59 malam pada hari Sabtu, 19 Nov melibatkan semua kenderaan jenis persendirian, Kelas 1 sahaja dianggarkan sekitar 90 peratus dari jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya,” katanya.


Ismail Sabri pada majlis itu memberi jaminan sekiranya kerajaan pimpinannya diberi mandat semula selepas PRU15, kesemua pengumuman yang dibuat pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-18 pada 30 Ogos lepas, yang terkandung dalam Bajet 2023 pasti akan dilaksanakan.


Antara pengumuman tersebut ialah kadar maksimum gantian cuti rehat (GCR) yang boleh dikumpulkan bagi tujuan award wang tunai dinaikkan daripada 160 kepada 180 hari, dan kebenaran penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sehingga 50 peratus akan dinaikkan sehingga maksimum 90 hari.


Ia juga termasuk kenaikan Gaji Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan 1.0 juta pesara kerajaan sebanyak RM350, serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 dinaikkan kepada RM600 serta dibayar pada Mac 2023.

×
Berita Terbaru Update