Beri peluang saya berkhidmat untuk warga Miri, kata Jeffery
Jeffery (kiri) dan Ting semasa sidang media di Pejabat SUPP Piasau hari ini. |
MIRI—“Berikan saya peluang untuk berkhidmat kepada anda. Saya perlukan mandat untuk membawa pembangunan di Parlimen Miri.”
Demikian kata calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kaunselor Jeffery Phang yang pertama kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Parlimen Miri adalah salah satu kerusi tradisi milik SUPP ketika masih bernaung di bawah panji Barisan Nasional (BN).
"Saya menyeru pengundi Miri memberikan saya peluang dengan memberikan kemenangan pada 19 Nov ini. Kemenangan ini penting agar saya dapat membawa lebih banyak pembangunan dan menyuarakan kepentingan rakyat di Parlimen,” katanya ketika sidang media di Pejabat SUPP cawangan Piasau hari ini.
Hadir sama Setiausaha Agung SUPP Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Ditanya tentang respon pengundi, Phang berkata ketika 'walkabout' yang dilakukan, ramai yang memberikan sokongan padu dan hasrat untuk mengubah Miri ke arah yang lebih baik.
"Sambutan yang diterima adalah sangat memberangsangkan," jelasnya.
Jeffery akan dicabar dalam pertandingan tiga penjuru antara calon dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Datuk Lawrence Lai dan Chiew Choon Man dari Parti Keadilan Rakyat (PKR-Pakatan Harapan).
Untuk rekod, kerusi Miri dipegang oleh Dr Michael Teo (PH-PKR) selama dua penggal sejak 2013.