MOTS bakal laksanakan Pelan Tindakan Pengangkutan cekap di Miri

MOTS, MOTS laksanakan Pelan Tindakan Pengangkutan cekap di Miri

Lee (tengah), Yii, Alice dan yang tetamu lain semasa pelancaran program ABC di sini hari ini.

MIRI--Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS), kini dalam  proses mengumpul maklumat bagi melaksanakan Pelan Tindakan Pengangkutan yang cekap untuk bandar raya Miri.


Menterinya Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, pelan itu akan memberi hala tuju yang jelas dalam mewujudkan sistem pengangkutan yang cekap di sini.


"Pelan ini menggariskan strategi pembangunan, hala tuju dasar, perundangan, rangka kerja pelaksanaan, program dan projek untuk memastikan sistem pengangkutan yang cekap.


Pendekatan yang lebih holistik ini akan mengambil kira skop ekonomi bandar, kelestarian alam sekitar, keperluan pihak berkepentingan dan hala tuju pembangunan keseluruhan Sarawak,” katanya.


Lee berkata demikian ketika merasmikan program kesedaran tingkah laku dalam pengangkutan atau (ABC) di sini.

Pada masa yang sama katanya, kementerian akan meneliti pemodenan perkhidmatan  bas di Miri.


“Setakat ini kementerian masih mengkaji model membangunkan perniagaan yang sesuai untuk dilaksanakan di Miri,” katanya lagi.


Program hari ini dihadiri 200 peserta dari pelbagai agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan persekutuan bertujuan memacu kesedaran keselamatan jalan raya dan tingkah laku pengguna jalan raya dan pada masa yang sama menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.


“Menerusi program ABC, matlamat kita adalah untuk mengubah tingkah laku orang ramai di jalan raya, mengubah tingkah laku tidak diingini yang menyumbang kepada kesesakan lalu lintas, misalnya tempat letak kereta yang tidak sesuai, perbuatan berbahaya, pemanduan berisiko, buli jalan raya dan banyak lagi,” katanya.


Terdahulu, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN)  Pujut, berkata Majlis Bandaraya Miri (MBM)  menyedari kesesakan yang berlaku di sepanjang jalan berhampiran bangunan sekolah di dalam pusat bandar raya.


"Kami sedar  tentang isu-isu itu, dan sudah tentu, tindakan mengambil dan menghantar murid sekolah sering menyebabkan kesesakan di kawasan ini," katanya.


"Namun kita tidak boleh menyalahkan ibu bapa atau guru ataupun pelajar, kerana ia berpunca daripada sebilangan orang yang tidak bertanggungjawab bertindak meletakkan kenderaan secara tidak bertanggungjawab," jelas Yii.


Beliau memberi jaminan MBM akan terus meningkatkan usahanya untuk menangani isu kesesakan di Miri.


Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Dr Ir. Alice Jawan Empaling , Residen Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Kaunselor Jeffery Phang.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.