Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di Beluran, Sandakan

Dua pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu bertembung di Jalan Telupid berhampiran Kampung Bauto, Beluran pagi tadi.

TELUPID— Tiga maut dalam dua kemalangan berasingan di sekitar Beluran dan Sandakan hari ini.


Kemalangan pertama membabitkan dua pemandu lori maut selepas kenderaan dipandu bertembung dalam kemalangan di Jalan Telupid berhampiran Kampung Bauto, Beluran.


Dalam kejadian sekitar 10 pagi itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, seramai tujuh anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi sejurus menerima pangilan pada 10.25 pagi.


“Kemalangan melibatkan sebuah lori muatan kayu balak yang bertembung dengan sebuah lagi trailer.


Pemandu kedua -dua lori dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera tiba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Dalam kemalangan kedua, seorang lelaki maut selepas Toyota Hilux dipandunya bertembung dengan sebuah lori sawit 10 tan di Jalan Labuk Batu 19 Sandakan tengah hari tadi.


Menurut PGO JBPM, anggota dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 12.24 tengah hari.


Mangsa, Lai Ming Yeoh, 50, tersepit di dalam kenderaan dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.


Mangsa seterusnya diserahkan kepada Pihak Polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada jam 1.34 petang.

Next Post Previous Post