Henry Sum, anak kebanggaan Lun Bawang berentap di Lawas

Kehadiran Henry Sum, ahli politik veteran yang merupakan Ahli Parlimen Lawas selama lima penggal sentiasa disenangi rakyat.

LAWAS—Anun bala? (apa khabar?). 


Demikian sapaan Datuk Henry Sum Agong dalam bahasa suku kaum Lun Bawang kepada puluhan penyokong yang hadir pada satu majlis di Jalan Merapok di sini, baru-baru ini.


Lenggok badannya yang tenang dan santai semasa bergaul dengan orang ramai merupakan manifestasi pengalaman ahli politik veteran itu yang merupakan Ahli Parlimen selama lima penggal.


Lawas, yang terletak kira-kira 1,000 kilometer ke utara Kuching, sememangnya tidak asing buat Henry yang juga wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal (2008 hingga 2022) dan sebelum itu sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas selama dua penggal (1999 hingga 2008).


Kini berusia 76 tahun, beliau yang sekali lagi memasuki gelanggang pilihan raya umum sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Lawas, berharap agar diberi peluang untuk menyelesaikan tugas yang belum selesai. 


“Saya selaku wakil rakyat (penyandang) di Lawas mengakui kita di sini masih jauh ketinggalan, banyak lagi keperluan yang masih belum lengkap. Ini kerana lokasi kawasan kita yang jauh di kawasan paling hujung (utara Sarawak).


“Semua keperluan ini tidak dapat kita capai atau lakukan dalam sekelip mata sahaja tetapi perlu ambil masa,” katanya semasa berucap pada majlis itu, lapor Bernama.


Henry mencipta sejarah tersendiri pada 2016 apabila dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sekali gus menjadi pemimpin sulung daripada komuniti Lun Bawang yang memegang jawatan Timbalan Menteri di peringkat Persekutuan.


Pada PRU15, cabaran merebut kerusi Parlimen Lawas lebih sengit apabila beliau berdepan seorang lagi nama besar dalam komuniti Lun Bawang iaitu Baru Bian daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).


Baru, 64, juga mencatatkan rekod cemerlang dengan menjadi menteri penuh Persekutuan pertama daripada komuniti itu semasa dilantik sebagai Menteri Kerja Raya pada 2018. 


Menerusi satu kenyataan selepas proses penamaan calon 5 Nov lepas, Baru memohon sokongan penduduk di Lawas yang menurutnya memerlukan suara efektif dan kuat di Dewan Rakyat, terutamanya dalam membawa isu pembangunan dan penyalahgunaan dadah di kawasan itu.


Selain Henry dan Baru, pertandingan merebut kerusi Parlimen Lawas yang memiliki sebanyak 33,655 pengundi itu, turut disertai calon Pakatan Harapan (PH) Japar Suyut.


Penganalisis Sosiopolitik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata Baru berdepan cabaran sukar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, terutamanya dalam menentang rekod perkhidmatan Henry selama lebih kurang 14 tahun di kawasan itu.


“Baru juga bukan tokoh yang calang-calang, beliau mampu memberikan saingan namun saya jangkakan beliau bakal hadapi laluan sukar dan berisiko.


“Henry daripada GPS mempunyai sokongan jentera kuat bukan sahaja daripada parti tetapi juga kerajaan negeri semasa berkempen,” katanya.


Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRU15 pada 19 Nov manakala pengundian awal pada 15 Nov.


Menurut cerita orang tempatan, nama ‘Lawas’ berasal daripada perkataan ’luas’, namun pada PRU15, kawasan luas itu hanya mampu menobatkan seorang pemenang yang bakal membawa suara penduduk Lawas di Dewan Rakyat. 

Next Post Previous Post