Dua anak muda himpit calon tua PSB di Miri
(dari kiri) Chiew, Jeffery dan Lai |
MIRI— Pertembungan tiga penjuru dijangka berlaku di Parlimen Miri melibatkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menariknya PH dan GPS membuka gelanggang dengan melaga dua anak muda bagi memanaskan suasana pilihan raya pada musim tengkujuh ini.
Percaturan PKR dalam misi menawan Miri sekali lagi ialah menggugurkan penyandang Parlimen Miri, Dr Michael Teo Yu Keng.
Teo, berkhidmat selama dua penggal, diganti seorang peguam yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak, Chiew Choon Man.
Pencalonan Chiew dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) diumumkan oleh Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika di Miri Selasa lalu.
Baru berusia 31 tahun, beliau menggalas tanggungjawab yang besar untuk meneruskan dominasi PH di sini.
Ketika ini, Chiew sedang gigih melancarkan kutipan derma di media sosial bagi membiayai kos kempen termasuk mencetak bahan-bahan kempen.
Pengumuman ini tidak mengejutkan memandangkan Dr Teo sudah dilaporkan secara meluas gagal menjalankan tugas selaku ahli parlimen apabila rekod kehadiran 11 kali beliau diisytiharkan sebagai terburuk di Malaysia.
Teo semestinya kecewa kerana beliau sudah menyediakan bilik operasi dan jentera kempen sebaik sahaja pembubaran parlimen dibubarkan.
Akhbar berbahasa Cina melaporkan, keperluan kempen sudah dihantar di bilik operasi menunggu masa untuk diedarkan.
Untuk rekod, Parlimen Miri adalah salah satu kerusi tradisi milik SUPP ketika masih bernaung di bawah panji Barisan Nasional (BN).
Pada tahun 2013, Teo memperoleh 26,909 undi menewaskan calon BN dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting, yang sekadar mengutip 24,917 undi sementara calon STAR, Chong Kon Fatt meraih 306 undi.
Pada 2018, Teo sekali lagi menentang Sebastian, dan kali ini beliau menang dengan majoriti besar, 13,663 undi.
Sepertimana Dr Teo, lawannya dalam GPS, Sebastian juga sudah tua kerepot.
GPS tidak punya pilihan lain selain meletakkan anak muda dengan mempertaruhkan Setiausaha Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Senadin, Jeffery Phang.
Pencalonan Jeffery seorang kaunselor Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Setiausaha SUPP Senadin diumumkan oleh Presiden GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam di Kuching.
Pengumuman Jeffery sebagai calon tidak mengejutkan kerana pimpinan SUPP sebelum ini sudah mewar-warkan nama beliau di media.
SUPP berdepan tekanan untuk menyumbang kerusi diperuntukkan pada PRU kali ini memandangkan GPS mahu memenangi sekurang-kurangnya 25 daripada 31 kerusi Parlimen, lapor banyak media arus perdana.
Parti perlu meletakkan calon boleh menang memandangkan Parlimen Miri sebuah kerusi yang sudah lama tercicir akibat kekalahan Sebastian, selain Bandar Kuching, Stampin, Serian, Sibu, Sarikei dan Lanang.
Bagi membolehkan SUPP mencapai prestasi memberansangkan, ia perlu meletakkan calon baharu yang boleh menang.
Namun, idea meletakkan ADUN sedia ada sebagai calon walaupun mereka popular dan mampu menang ditentang oleh kepimpinan parti, kerana ia jarang diamalkan oleh GPS.
Bakal calon GPS Jeffery Phang, ketika dihubungi Borneo Network berkata pencalonan ini merupakan tanggungjawab yang amat besar terutama sekali Parlimen Miri telah jatuh ke tangan PKR selama dua penggal sejak 2013.
“Saya dan pasukan di bawah pimpinan Datuk Seri Lee Kim Shin, Datuk Sebastian dan Adam Yii akan buat yang terbaik untuk mambantu GPS memenangi kerusi ini,”
Saya bersyukur dan berterima kasih ke atas barisan pimpinan GPS terutama kedua-dua Presiden GPS dan SUPP serta keseluruhan barisan pucuk pimpinan di atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya,” katanya.
Calon lain dijangka menyertai perlawanan ialah bekas Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai dari Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Perkara itu diumumkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Wong Soon Koh baru-baru ini.
Bekas datuk bandar pertama Miri itu berkata, pencalonannya turut mendapat ‘restu’ daripada parti pembangkang tempatan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang setuju untuk tidak bertanding.
Lai sebelum ini merupakan pemimpin SUPP, namun keluar dari parti itu untuk menyertai PSB kerana krisis dalaman parti itu yang menyaksikan penubuhan United People Party (UPP) sebelum dijenamakan semula sebagai PSB.
Kumpulan serpihan SUPP itu bukan sahaja menggugat GPS, malah mendatangkan masalah besar kepada DAP selaku pembangkang utama di Sarawak.
Ketiga-tiga calon iaitu Jeffery, Chiew dan Lai berdepan cabaran besar meraih undi dan sokongan terutama daripada pengundi 18 tahun di kawasan Parlimen Miri yang didominasi pengundi Cina.
Pengundi Cina menyuarakan isi hati mereka, mahukan kerajaan yang dapat memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik dan pendidikan yang terjamin.
“Siapa pun yang bertanding pada 19 Nov ini harus berupaya membawa kedua-dua misi ini,” katanya.