Bekas PM Pakistan Imran Khas stabil selepas cubaan bunuh

Saksi berkata tembakan yang dilepaskan ke arah kenderaan Imran menggunakan pistol automatik. Gambar media sosial

NEW DELHI-- Bekas perdana menteri Pakistan Imran Khan dilaporkan stabil selepas terkena tembakan di kaki susulan cubaan membunuhnya pada Khamis ketika mengetuai perarakan ke Islamabad.


"Keadaannya stabil. Tekanan darahnya, tanda vital baik. Beliau boleh bercakap," kata Dr Faisal Sultan dari Hospital Shaukat Khanum di Lahore, lapor Bernama.


Imbasan X-ray dan analisis menunjukkan terdapat serpihan peluru di kakinya dan satu tulang kering retak, kata Dr Faisal.


Imran, 70,  diserang di bandar Wazirabad di wilayah Punjab ketika beliau menaiki trak kontena khas bersama-sama pemimpin kanan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dalam perjalanan ke Islamabad bagi menuntut pilihan raya baharu.


Protes besar-besaran berlaku di kebanyakan bandar termasuk Lahore, Faisalabad, Rawalpindi, Karachi dan Peshawar sebagai sokongan terhadap Imran.


Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Amerika Syarikat, Kanada dan Arab Saudi mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan.


Ketua Menteri Punjab Chaudhry Parvez Elahi telah mengarahkan siasatan dijalankankan ke atas insiden itu.


Beliau berkata, terdapat dua penyerang di tempat kejadian.


Saksi berkata tembakan yang dilepaskan ke arah kenderaan Imran menggunakan pistol automatik.


Pemimpin PTI mendakwa terdapat konspirasi untuk menghapuskan Imran daripada kancah politik dan bekas perdana menteri itu sendiri telah bercakap secara terbuka mengenai ancaman terhadap keselamatannya.


Seorang suspek kini ditahan polis dan menerusi video yang tular di media sosial lelaki itu mengaku mahu membunuh Imran.


Pemimpin kanan PTI, Zartaj Gul Wazir,  memberitahu saluran televisyen Bol orang ramai berang dengan insiden cubaan membunuh Imran itu.


Tujuh orang termasuk rakan Imran, Faisal Javed Khan dan Ahmed Chattha cedera manakala seorang lelaki maut dalam kejadian tembakan itu, menurut laporan media Pakistan.


"Ini serangan ke atas negara Pakistan dan keselamatannya," kata bekas timbalan speaker Dewan Negara Qasim Khan Suri.


Serangan itu turut mencetuskan reaksi dari pemimpin dunia.


"Demokrasi hanya berfungsi apabila kita menggunakan kata-kata bukannya senjata. Tiada pemimpin politik harus menghadapi keganasan atau ugutan. Doa saya mengiringi Imran Khan dan rakyat Pakistan pada masa ini," kata Datuk Bandar London, Sadiq Khan.


"Kerajaan Arab Saudi mengecam cubaan membunuh bekas Perdana Menteri Pakistan Imran Khan," menurut Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan.


"Serangan terhadap @ImranKhanPTI dan penyokongnya sama sekali tidak boleh diterima, dan saya mengutuk sekeras-kerasnya keganasan ini. Ia tidak mempunyai tempat dalam politik, dalam mana-mana sistem demokrasi atau dalam masyarakat kita," kata Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau.


Sambil mengutuk serangan itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken menggesa parti politik Pakistan tidak bertelagah.


OIC dalam satu kenyataan mengecam insiden itu dan mengulangi pendirian 57 negara anggota pertubuhan itu terhadap semua bentuk keganasan, ekstremisme dan keganasan.

Next Post Previous Post