7 syarikat Sarawak intai projek infrastruktur di Kalimantan Barat

Gambar hiasan

JAKARTA—Sekurang-kurangnya tujuh syarikat dari Sarawak telah menyatakan minat untuk meneruskan projek infrastruktur di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia.


Pengerusi eksekutif syarikat pembangunan infrastruktur yang berpangkalan di Kuching, Maltimur Resources Sdn Bhd, Junaidi Sahadam berkata, projek itu termasuk jalan bertol Pontianak-Singkawang dan tenaga solar hibrid.


“Banyak perniagaan yang berpotensi besar menanti untuk diketengahkan di wilayah ini, terutamanya di ibu kota Pontianak,” katanya kepada agensi berita Indonesia, Antara.


Junaidi mengetuai delegasi tujuh syarikat berpangkalan di Sarawak bagi mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Pontianak, Edi Rusdi Kamtono di pejabatnya pada Khamis.


Kerajaan Indonesia dilaporkan merancang pembangunan jalan bertol kedua di Pulau Kalimantan, menghubungkan Pontianak dan Pelabuhan Antarabangsa Kijing.


Jalan tersebut akan menyokong pelan pembangunan kawasan perindustrian yang menampung pengedaran komoditi, seperti minyak sawit dan bauksit.


Jarak antara Kuching, Sarawak dan Kijing, di kawasan antara Singkawang dan Mempawah, ialah 261 kilometer.


Junaidi berkata program tenaga solar Indonesia juga menarik kerana sistem solar hibrid merupakan sumber tenaga boleh diperbaharui yang diyakini bagi kawasan terpencil di wilayah itu.

Next Post Previous Post