Elon Musk umum kurangkan pekerja Twitter bermula Jumaat


HOUSTON— Elon Musk bakal memulakan proses untuk mengurangkan jumlah pekerja Twitter mulai Jumaat.


Menerusi hantaran e-mel syarikat pada petang Khamis, bos baharu gergasi media sosial itu menyatakan bahawa pekerja akan menerima notis pada 12 tengah hari Jumaat mengenai status mereka, lapor Agensi Anadolu memetik beberapa sumber media.


"Pasukan dalam usaha untuk menjadikan Twitter sebagai platform sihat kita akan melalui proses sukar dengan mengurangkan tenaga kerja global kami pada Jumaat, lapor Bernama.


"Jika pekerjaan anda tidak terjejas anda akan menerima pemberitahuan melalui e-mel Twitter anda.


“Jika pekerjaan anda terjejas, anda akan menerima pemberitahuan termasuk langkah seterusnya melalui e-mel peribadi anda,” kata Musk.


Sejak mengambil alih Twitter dengan nilai US$44 bilion minggu lalu, Musk memecat Ketua Pegawai Eksekutif Parag Agrawal dan memecat seluruh lembaga pengarah, menjadikan dirinya sebagai pengarah tunggal platform itu. 


Pengumuman itu tidak mengejutkan, kerana selepas mengambil alih Twitter beliau dilaporkan merancang untuk mengurangkan sehingga separuh daripada 7,500 kakitangan syarikat itu.


Musk sebelum ini dilaporkan berkata Twitter terpaksa mengurangkan tenaga kerja untuk memastikan syarikat mampu untuk terus mengorak langkah ke hadapan.


"Untuk memastikan keselamatan pekerja dan sistem Twitter, pejabat syarikat akan ditutup buat sementara waktu dan semua akses akan digantung," katanya.


Semua pekerja diminta berada di rumah pada Jumaat dan menunggu kemas kini mengenai status mereka.

Next Post Previous Post