GPS mahu jadikan Sibu seperti Amsterdam, Abang Johari

Abang Johari berkesempatan beramah mesra bersama pengunjung di Kelab Melayu Kpg Nyabur (MUC) malam tadi. Gambar kredit Pejabat Premier Sarawak 

SIBU—Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri mahu menjadikan Sibu tarikan pelancongan seperti Amsterdam yang terkenal dengan terusan dan menarik ramai pelancong.


Pembinaan terusan bagi menyelesaikan isu banjir di kawasan Bukit Assek dan bahagian tengah Sibu akan mengambil masa untuk dilaksanakan, dan kerajaan GPS tidak akan melakukannya secara terburu-buru, lapor Bernama.



“Cadangan kami untuk Sibu, (ialah untuk) menjadikan Sibu destinasi tarikan pelancongan seperti Amsterdam di Belanda. Ia memerlukan dana yang banyak dan jangka masa yang panjang untuk kita bangunkan Sibu,” katanya ketika melancarkan progam Sarawakku Sayang 2022 di sini hari ini.


Hampir 70 peratus kawasan Sibu merupakan kawasan tanah gambut dengan kebanyakan kawasan bandarnya terletak dalam kawasan tanah gambut yang menyebabkan kesukaran untuk dibangunkan.


Bagaimanapun, ia tidak akan menghentikan kerajaan untuk membawa lebih banyak pembangunan ke Sibu.


Bagi menjadikan ia satu kenyataan, kajian yang menyeluruh akan dilaksanakan dan Abang Johari berkata beliau telahpun melantik perunding tempatan dan luar negara yang telah menyiapkan projek di Belanda, Denmark dan Singapura.


Pada masa sama, pembinaan jalan sedang dilaksanakan bagi menyambungkan Sibu Jata dan Jalan Kong Yit Khim dan proses tender juga telah disiapkan bagi pembinaan jalan dari bulatan Jalan Aman ke Jalan Tuanku Abdul Rahman; kawasan Ulu Sungai Merah-Jalan Tuanku Abdul Rahkan; dan Jalan Teku Pasai Siong-kawasan Kemuyang selain menjadilan jalan Salim-Kong Yit Khim menjadi jalan empat  lorong.


Johari berkata pembinaan jalan tersebut akan transformasikan kawasan Parlimen Sibu dan Lanang dan ia boleh dilakukan kerajaan GPS kerana mereka mempunyai polisi ekonomi yang praktikal dan mempunyai pendapatan daripada hasil minyak.


Beliau yang juga Pengerusi GPS dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata beliau mempunyai akan melihat cara bagi mendapatkan pendapatan yang lebih lagi untuk Sarawak.


Johari berkata beliau telah mempunyai idea untuk itu dan lebihan dana itu akan disimpan dalam Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang akan ditubuhkannya tidak lama lagi, bagi memastikan masa depan Sarawak yang lebih terjamin.


Beliau berkata hasil Sarawak sebelum ini berjumlah RM6 bilion, telah melepasi RM10 bilion tahun ini dan angka tepat akan dimaklumkan pada pembentangan Bajet Sarawak ketika persidangan Dewan Undangan Negeri pada akhir bulan ini.


“Tentu sekali dua digit. Tidak pernah dalam sejarah, Sarawak mendapat pendapatan sebanyak itu dan saya telah lakukannya, dan GPS telah lakukannya,” katanya.

Next Post Previous Post