Undi dengan bijak demi masa depan Limbang, kata Hasbi

Hasbi berucap semasa tiba di Lapangan Terbang Limbang hari ini, kelihatan sama Dr Abdul Rahman dan Paulus.

LIMBANG— Penyandang kerusi Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah menggesa pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun yang mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk membuat keputusan bijak demi masa depan Sarawak.


Beliau berkata, inilah masanya rakyat Sarawak membuktikan bahawa GPS yang julung kali bertanding di PRU mampu mengubah lanskap politik negara.


“Kita mestikan buktikan GPS bukan sekadar parti tempatan, namun mampu mencapai kemenangan yang membanggakan melalui sokongan dan undi anda.


“Rakyat Sarawak harus menyokong GPS. Tidak perlu kita mengulangi politik kacau-bilau seperti yang berlaku di Semenanjung dan Sabah,” katanya berucap semasa tiba di Lapangan Terbang Limbang hari ini.


Hasbi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, GPS perlu memenangi kesemua 31 kerusi untuk membolehkan ia mempunyai kuasa yang lebih di Parlimen.


Beliau berkata, keputusan bijak itu adalah dengan mengundi kerajaan yang terbukti dapat membawa pembangunan khususnya di kawasan Limbang.


“Saya mengingatkan pengundi terutama generasi muda agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar dalam membuat pilihan siapa yang patut diundi.


Sementara itu, Hasbi melahirkan penghargaan kepada Pengerusi GPSDatuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk mewakili parti kali ini bagi kerusi Limbang.


Katanya, semua calon yang mewakili GPS kali ini mampu membawa kemenangan besar.


Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail.

Next Post Previous Post