Mahkamah tolak rayuan Bersih berhubung pengisytiharan darurat

Mahkamah tolak rayuan Bersih berhubung pengisytiharan darurat
Gambar arkib

PUTRAJAYA— Rayuan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dan sembilan lain untuk merujuk beberapa persoalan perlembagaan berhubung kesahihan pengisytiharan darurat pada 2020 kepada Mahkamah Persekutuan ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.


Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berpendapat tiada kesilapan membolehkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, justeru mengekalkan keputusan tersebut.


Mahkamah kemudian menolak rayuan tersebut tanpa perintah berhubung kos.


Mengenai bantahan awal oleh Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, yang mewakili kerajaan dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa permohonan rujukan perlembagaan tidak boleh dirayu, Hakim Has Zanah berkata permohonan rujukan itu boleh dirayu kerana ia akhirnya melupuskan hak pihak perayu.


Rayuan tersebut dikemukakan oleh Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann Peng Tong, enam badan bukan kerajaan (NGO) serta two ahli politik PKR, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.


NGO tersebut ialah Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK), Persatuan Aliran Kesedaran Negara (ALIRAN), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Save River dn Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).


 
Selain Mohd Yusmadi dan Shamsul Iskandar, Mahkamah Tinggi pada 1 April tahun lalu, membenarkan tiga ahli PAS -- Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, ahli Dewan Negara, Khairil Nizam Khirudin dan Senator Mohd Apandi Mohamad menjadi pencelah  dalam saman Bersih 2.0 dan NGO itu terhadap kerajaan Malaysia dan Muhyiddin Yassin.


Dalam saman pemula mereka, mereka memohon pengisytiharan bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan, oleh itu terbatal dan tidak sah.


Pada 18 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan mereka untuk merujuk persoalan perlembagaan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, ke Mahkamah Persekutuan.


Bersih 2.0 mengemukakan tujuh persoalan undang-undang mengenai kesahihan pengisytiharan darurat berkuat kuasa dari 21 Jan 2021 hingga 1 Ogos 2021 bagi membendung penularan pandemik COVID-19 yang bermula secara global pada awal 2020.


Pada prosiding hari ini secara dalam talian, Bersih 2.0 dan NGO tersebut diwaklii peguam Edmund Bon Tai Soon, New Sin Yew dan Jacqueline Hannah Albert manakala kerajaan dan Muhyiddin Yassin diwalkili oleh Peguam Persekutuan, Noor Atiqah Zainal Abidin.


Peguam A. Surendra Ananth bertindak bagi pihak Mohd Yusmadi dan Shamsul Iskandar dan tiga ahli PAS oleh peguam Mohammed Zamri Ibrahim.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.