Covid-19: KKM Singapura nafi khabar angin peningkatan kes, kematian akibat jangkitan XBB

Covid-19 Singapura,Kementerian Kesihatan (MOH)

Khabar angin itu telah tersebar melalui hantaran di WhatsApp di sini. Gambar hiasan kredit unsplash

SINGAPURA—Khabar angin bahawa Singapura mengalami peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian akibat strain XBB adalah tidak benar, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).


“Kami sedang memulakan tindakan POFMA (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian 2019) terhadap dakwaan berkenaan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi laman sesawangnya pada Selasa.


POFMA dikenali sebagai Undang-undang Berita Palsu.


Khabar angin itu telah tersebar melalui hantaran di WhatsApp di sini.


“Walaupun terdapat peningkatan kes yang didorong oleh strain XBB, termasuk peningkatan selepas hujung minggu Selasa ini, jumlah kes teruk kekal rendah.


“Ini berkemungkinan besar disebabkan oleh daya tahan terhasil melalui vaksinasi dan gelombang jangkitan sebelumnya. Kami memantau trajektori ini dengan teliti,” menurut MOH.


KKM menegaskan tiada bukti strain XBB menyebabkan penyakit menjadi lebih teruk.


“Sehingga kini majoriti pesakit melaporkan simptom tidak ketara seperti sakit tekak atau demam, terutamanya jika mereka telah menerima suntikan vaksin,” menurut kenyataan itu.


Kementerian memaklumkan peningkatan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital adalah sejajar dengan peningkatan keseluruhan kes.


Pada masa ini terdapat 490 kes sedang menerima rawatan di hospital berbanding 1,600 kes pada kemuncak gelombang Delta dan kira-kira 800 ketika gelombang Omicron mengganas.


Sekitar 11,732 jangkitan COVID-19 dilaporkan di sini pada Selasa.

-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.