Melaka, Sarawak diberi tempoh seminggu atau terkeluar Liga Super 2023

Sarawak United gagal memenuhi kriteria kewangan selain mempunyai dua kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

PETALING JAYA— Nasib Melaka United FC dan Sarawak United FC beraksi dalam saingan Liga Super musim depan bergantung kepada pemerolehan lesen kebangsaan  selepas gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan mengikut Peraturan Pelesenan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2022.


Justeru, kedua-dua kelab tersebut diberi tempoh seminggu sehingga 19 Okt ini untuk mengemukakan rayuan mendapatkan lesen kebangsaan.


Pengerusi Pelesenan  Kelab MFL,First Instance Body (FIB),  Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, berkata Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Jun dan Ogos tahun ini.


Katanya, Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di mana  Kamar Penyelesaian Pertikaian FIFA (DRC) telah membuatkan keputusan terhadap bekas pemain, Sandro Da Silva Mendonca dan Taylor Francis George Regan.


“Bagaimanapun,  Melaka United dan Sarawak United boleh mengemukakan rayuan kepada MFL sebelum jam 5 petang, 19 Okt ini,” katanya pada sidang sidang selepas berakhir mesyuarat dua hari Pelesenan Kelab MFL FIB, di sini, hari ini.


Menurutnya, hanya 10 pasukan bertanding dalam Liga Super 2022 berjaya mendapatkan lesen kebangsaan iaitu pasukan Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Petaling Jaya City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC.


Sementara itu, katanya, enam pasukan Liga Premier 2022 iaitu Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC dan UiTM FC diberikan lesen kebangsaan untuk layak menyertai Liga Super musim depan.


Sebagai langkah proaktif, Sheikh Mohd Nasir, berkata MFL mensyaratkan setiap pasukan mengemukakan dokumen membuktikan mereka bebas daripada sebarang tunggakan atau kelewatan pembayaran gaji, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso kepada MFL sebelum 15 Dis ini, menjelang musim baharu Liga Super 2023.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, berkata Liga Super 2023 akan diteruskan dengan format 16 pasukan sendainya pihaknya tidak menerima rayuan daripada Melaka United dan Sarawak United.


Ditanya mengenai nasib kedua-dua kelab itu musim depan jika gagal dalam rayuan mendapatkan lesen kebangsaan,  Stuart berkata berdasarkan struktur liga musim depan, kemungkinan kedua-dua kelab itu boleh beraksi di Liga M3, kelolaan Liga Bolasepak Amatur (AFL).


Bagaimanapun, beliau menjelaskan pertimbangan beraksi di Liga M3 adalah di bawah bidang kuasa AFL dan MFL tiada kuasa untuk memutuskan perkara itu.


Dalam perkembangan lain, katanya, mana-mana pasukan tempatan ingin mendapatkan lesen Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) perlu menyerahkan dokumen kewangan masing-masing sebelum 30 April tahun depan.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post