Helikopter bomba hantar bantuan makanan mangsa banjir di Bukit Mabong, Kapit

Bantuan makanan kering dihantar kepada 140 KIR di empat rumah panjang yang terjejas banjir, Helikopter bomba hantar bantuan makanan mangsa banjir

Gambar kredit Bomba Sarawak


SIBU— Bantuan makanan kering dihantar kepada 140 ketua isi rumah (KIR) di empat rumah panjang yang terjejas banjir di daerah Bukit Mabong di Kapit hari ini dengan menggunakan khidmat helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).


Pegawai Daerah Bukit Mabong Robert Liman Deli berkata bantuan tersebut diagihkan kepada mangsa yang tidak dapat berpindah di sekitar hulu Sungai Mujong melibatkan rumah panjang (Rh) James Saka Bujai yang mempunyai 63 KIR, Rh Ejon Aji (24 KIR), Rh Umbar Bunsu (31 KIR) dan Rh Ambu Sungai Tiau dengan 22 KIR.



Beliau berkata empat rumah panjang itu adalah antara sembilan rumah panjang di daerah itu yang terjejas susulan banjir dan tanah runtuh yang mengakibatkan perhubungan jalan raya terputus.


“Sebanyak dua kali penerbangan dibuat di mana penerbangan pertama menuju Rh Umbar Bunsu dan Rh Ambu di Sungai Tiau, manakala penerbangan kedua menuju Rh James Saka Bujai dan Rh Ejon Aji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 



Selain itu kakitangan dari empat sekolah rendah turut terjejas iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Mujong Tengah, SK Nanga Tiau, SK Nanga Oyan dan SK Oyan Tengah.


Sebelum ini bantuan makanan telah dihantar ke Rh Jimmy Jarraw Kumbang di Nanga Sekeroh, Rh Saba Duat (Nanga Segerugo), Rh Nawin Salau (Nanga Sungai Oyan), Rh Anting Mangai (Batu Bansu) dan Rh Alex Jawong di Sungai Suau.


-- BERNAMA

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.