Ribuan penduduk Ketapang terjejas banjir, Kalimantan Barat isytihar darurat

Gambar kredit Suara Ketapang

JAKARTA—Penguasa Daerah Ketapang di Wilayah Kalimantan Barat mengisytiharkan darurat kecemasan selama 14 hari sejak Isnin, berikutan banjir, ribut dan tanah runtuh yang menjejaskan kawasan berkenaan, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.


Sejumlah 3,324 rumah, masing-masing dua sekolah, klinik, rumah ibadat dan pejabat kampung terjejas akibat banjir berikutan hujan berterusan.


Pengisytiharan darurat itu akan membolehkan kerajaan tempatan mengoptimumkan sumber untuk membantu 3,590 keluarga atau 11,419 penduduk di lima mukim, kata jurucakap BNPB, Abdul Muhari.


Kawasan perumahan berhampiran Sungai Jelai dinaiki air sehingga 170 sentimeter selepas hujan lebat sejak 11 malam, waktu tempatan, Jumaat lepas.


Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Ketapang merekodkan 75 orang daripada 26 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka dinaiki air.


Kawasan yang terjejas adalah Kampung Tumbang Titi di Daerah Tumbang Titi, Kampung Harapan Baru (Daerah Air Upas), Kampung Betenung (Daerah Nangga Tayap), Kampung Riam Kanan dan Kampung Kesuma Jaya (Daerah Jelai Hulu).


Daerah kecil paling teruk terjejas adalah di Daerah Manis Mata, melibatkan Kelampai, Tribun, Sengkuang Merebong, Kemuning, Terusan, Silat, Suak Burung, Kalimantan, Dekakah, Batu Sedau, Manis Mata, Ratu Elok, Sungai Buluh, Jambi , Seguling, Sukaramai dan Asam Besar.


Abdul Muhari berkata BPBD, anggota tentera dan polis sudah bersiap sedia untuk berhadapan kesan banjir yang lebih teruk, manakala BPBD terus membuat penilaian dan menyelaraskannya dengan pegawai daerah dan pejabat tempatan.


Memandangkan masih terdapat kemungkinan hujan, pada tahap renyai-renyai hingga sederhana di mukim yang terjejas, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan bersedia untuk berpindah.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post