Pengawal keselamatan dicekup suspek pecah rumah di Jalan Matang


KUCHING--Polis berjaya menyelesaikan kes pecah rumah di Jalan Matang di sini, semalam, dengan tertangkap seorang suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan hari ini.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun itu diberkas di kedai makan Popular Food Court, Taman Lee Ling, Jalan Matang, jam 7.30 pagi tadi.


Menurutnya, dengan penangkapan suspek pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah(BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah berjaya menjumpai barangan yang hilang selepas rumah seorang ejen jualan lelaki berusia 44 tahun di pecah masuk.


"Ketika kejadian pengadu dan isterinya tidak berada di rumah kerana keluar bekerja dan hanya menyedari perkara itu sekitar jam 6.30 petang ketika balik ke rumah.


"Setelah membuat pemeriksaan mereka mendapati kawasan dalam rumah berselerak dan  terdapat kesan umpilan pada cermin tingkap jenis sliding dan  pagar gril di bahagian ruang dapur," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat barang-barang berharga dalam rumah seperti telefon, barangan kemas, jam tangan, pasport antarabangsa dan Wang tunai RM 950 telah hilang.


"Anggaran kerugian yang dialami ialah sebanyak RM 10,000," ujarnya.


Menjelas lanjut, katanya, semakan yang dijalankan juga mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 1515(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.


"Suspek ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan akan mula ditahan reman mulai hari ini.


"Kes disiasat mengikut  Seksyen 457 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Next Post Previous Post