Mahathir pertahan kerusi Langkawi, tetapi bukan calon PM

Gambar arkib

PUTRAJAYA—Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan, beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.


Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat GTA di sini hari ini, bekas perdana menteri itu berkata beliau akan bertanding sebagai ‘calon wakil rakyat’ dan bukan sebagai ‘calon perdana menteri’.


“Kita juga membuat keputusan iaitu di Langkawi calonnya ialah Dr Mahathir Mohamad, bukan sebagai calon perdana menteri tetapi sebagai wakil rakyat.


“Kita tidak tentukan siapa yang akan jadi perdana menteri, kerana calon untuk perdana menteri itu hanya relevan jika menang (PRU15) sahaja, kalau kita kalah tidak relevan,” katanya.


Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 bagi memberi laluan kepada PRU15.


Pada Jun lepas, Dr Mahathir dilaporkan berkata akan mempertimbangkan cadangan untuk bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU15, sekiranya tiada calon sesuai. 


Pada PRU14, Dr Mahathir mencipta kejutan apabila memenangi kerusi Parlimen Langkawi apabila memperoleh 18,954 undi menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Nawawi Ahmad dan calon PAS Zubir Ahmad dengan majoriti 8,863 undi.


Sementara itu, Dr Mahathir  yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata mesyuarat itu turut memutuskan, GTA akan bertanding atas tiket Pejuang kerana pendaftaran gerakan itu belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).


“Walaupun guna nama Pejuang tapi tidak bermakna calon dari Pejuang. Mereka adalah dari GTA cuma diuruskan Pejuang. Kita telah setuju akan letak 120 atau lebih calon termasuk di Sabah,” katanya dan menambah senarai calon akan dibuat oleh presiden parti dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam GTA.


Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata calon GTA di Kelantan akan bertanding menggunakan bendera dan logo Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).


GTA telah mengemukakan permohonan kepada RoS pada 18 Ogos, untuk didaftarkan selepas gerakan itu ditubuhkan pada 4 Ogos, dengan melibatkan gabungan empat parti iaitu Pejuang, Berjasa, Putra dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), serta terbuka kepada NGO, orang perseorangan, ahli akademik serta profesional dalam kalangan kaum Melayu.


Mengulas mengenai strategi gerakan itu pada PRU15, beliau berkata GTA akan meletakkan calon bebas rasuah dan jenayah serta calon muda dalam kalangan wanita, selaras pelaksanaan Undi18 yang dimulakan pada Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac lepas.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post