MHB peroleh kontrak EPC daripada Shell untuk projek gas Rosmari-Marjoram
![]() |
Gambar arkib |
KUALA LUMPUR-- Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE), anak syarikat milik penuh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) memperoleh kontrak daripada Sarawak Shell Bhd (SSB) untuk mengendalikan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) platform luar pesisir untuk projek gas Rosmari-Marjoram, di luar pantai Sarawak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, MHB berkata kontrak selama 19 bulan itu adalah untuk melaksanakan pembinaan platform wellhead, topside dan jacket berkaki empat dengan anggaran nilai kurang daripada setengah bilion ringgit.
Sebaik siap, platform itu akan dipasang pada kedalaman air 140 meter dalam kawasan SK318, di luar pantai Bintulu.
Menurut MHB, platform tanpa pemandu itu akan digerakkan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui yang akan menggunakan kuasa daripada panel solar.
"Dengan hayat reka bentuk selama 20 tahun, ia akan menampung sehingga 800 juta kaki padu gas standard sehari dengan permulaan disasarkan pada 2026 membekalkan gas asli ke Kompleks LNG Petronas di Bintulu," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MHB Pandai Othman berkata projek itu akan memperhebatkan lagi aspirasi kumpulan untuk menyokong semua pemegang kepentingannya, khususnya Shell dan Petronas, ke arah merealisasikan agenda pelepasan karbon sifar bersih.
Projek gas Rosmari-Marjoram kini diusahakan oleh SSB, pengendali blok SK318 dan Petronas Carigali Sdn Bhd.
-- BERNAMA
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.