-->

Notification

×

Iklan

Iklan

Wakil parti politik hadir sesi libat urus pemansuhan hukuman mati

| September 21, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-21T09:02:56Z
Sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat dan wakil Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori telah diadakan di bangunan Parlimen semalam.

KUALA LUMPUR— Satu sesi libat urus bersama Ahli Dewan Rakyat dan wakil Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori telah diadakan di bangunan Parlimen semalam. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan sesi libat urus itu adalah bagi membincangkan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan diperuntuk hukuman mati mandatori dan 23 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara mahkamah.


“Sebahagian daripada input serta pandangan Ahli Dewan Rakyat dan wakil yang hadir akan dilaksanakan dalam kajian lanjut fasa kedua pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori ini, antaranya merangkumi isu berkaitan pemenjaraan sepanjang hayat dan hukuman sebatan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata turut dibincang semasa sesi itu ialah perkara dasar lain yang berbangkit antaranya status moratorium pelaksanaan hukuman mati terhadap 1,337 banduan yang telah dijatuhi hukuman mati.


Wan Junaidi berkata secara umumnya, Ahli Dewan Rakyat dan wakil parti politik yang hadir menyuarakan penghargaan kepada kerajaan atas kesungguhan menjayakan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori.


Beliau berkata sesi libat urus itu merupakan satu permulaan baik ke arah memastikan pembentangan kesemua pindaan akta yang terlibat pada persidangan Parlimen Oktober ini berjalan lancar.


“Tindakan ini dilihat sebagai satu langkah positif dan progresif ke arah melaksanakan perubahan besar untuk polisi penghukuman di negara ini dan bagi memastikan penambahbaikan sistem perundangan serta keadilan Malaysia,” katanya.


Wan Junaidi berkata sesi libat urus itu turut dihadiri pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia.


Pada 8 Jun lepas, kerajaan secara prinsipnya bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.


Keputusan dasar itu memberi kesan kepada 11 kesalahan yang diperuntuk hukuman mati mandatori selain satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati dengan budi bicara mahkamah.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update