Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut bincang tarikh PRU15


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim. 


Memetik laporan Berita Harian, Shahidan berkata, selain tumpuan kepada persediaan menghadapi banjir, topik tarikh PRU15 turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. 


Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut. 


"Perkara berkaitan pembubaran Parlimen dan pilihan raya berada dalam bidang kuasa Perdana Menteri.


"Perbincangan itu ada, membabitkan macam-macam isu, kita bincang dengan panjang lebar mengenai persiapan menghadapi banjir untuk bulan-bulan akan datang, Oktober, November dan Disember," katanya.


Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan cadangan untuk mengadakan PRU15 akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.


Selain itu, Media turut melaporkan Perdana Menteri akan membawa pendapat semua pihak berhubung bila PRU15 patut diadakan.


Baru-baru ini, Ismail Sabri diasak pelbagai pihak untuk membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 dijalankan. 


Ini berikutan selepas dua kali perubahan kerajaan berlaku sejak PRU14  yang menyaksikan tiada parti politik memperoleh kerusi dua pertiga di Dewan Rakyat.


Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lalu dipetik berkata BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.


Presiden UMNO itu menyifatkan isyarat yang diberikan ahli parti supaya PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah jelas dan nyata.


Manakala PAS pula kekal dengan pendirian sebelum ini bahawa PRU15 tidak sesuai diadakan pada tahun ini.


Naib Presidennya, Datuk Idris Ahmad memberitahu, pandangan itu telah disuarakan sejak sekian lama dan akan diulangi dalam mesyuarat Kabinet, jika perkara berkenaan kembali berbangkit.


Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba tidak memberikan jawapan yang jelas berhubung perkara itu namun menyatakan Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai keputusan mesyuarat Kabinet.

Next Post Previous Post