UNIMAS teruskan peranan tingkat kehidupan rakyat Sarawak


KUCHING-- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan terus melaksanakan peranannya dalam meningkatkan kehidupan komuniti yang pelbagai kaum dan bertaburan di Sarawak melalui pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi.


UNIMAS dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Malaysia hari ini memaklumkan sebagai universiti terulung di Sarawak, pendidikan menjadi kunci kepada kejayaan negeri itu dalam usaha ke arah membangunkan industri dan ekonomi digital.


Menurut kenyataan itu, UNIMAS melaksanakan peranan penting dalam menyokong Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak mempromosikan tenaga hijau, perubahan iklim dan tenaga serta kelestarian menerusi pengwujudan Institut Tenaga Lestari dan Diperbaharui (ISuRE).


“UNIMAS juga rakan penting kepada Kerajaan Sarawak dalam menubuhkan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak, bermula daripada aktiviti penyelidikan dalam penyakit berjangkit di Sarawak sejak 25 tahun lepas dan pelaksanaan perkara baharu dan perubahan besar dalam pengurusan COVID-19 bersama kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.


Legasi kepentingan pendidikan di Sarawak yang telah bermula sejak zaman pentadbiran Rajah Putih dalam meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan masyarakat berterusan sehingga kini memandangkan inisiatif Kementerian Pendidikan bukan sahaja untuk melahirkan pelajar yang berpendidikan malah memastikan kesejahteraan mereka.


“Penyediaan pendidikan di Sarawak bukan semata-mata dengan membina sekolah tetapi juga memperuntuk sumber yang besar untuk infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik yang diperlukan untuk menyediakan persekitaran pendidikan yang kondusif.


“Penyediaan pendidikanlah yang memacu pembinaan bagi pembangunan infrastruktur asas untuk masyarakat bandar dan luar bandar,” menurut kenyataan itu.


Menurut UNIMAS, Malaysia perlu bergantung kepada pendidikan sebagai kunci dan pelaburan yang semakin diperlukan.


“Setiap keputusan yang kita buat hari ini boleh memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada generasi akan datang. Pada masa yang sama, ia juga tanggungjawab belia generasi ini untuk membangunkan pendidikan yang lebih saksama dan berkesan untuk Keluarga Malaysia yang lebih bersatu,” menurut kenyataan itu.


Menurut UNIMAS, menerusi Bajet 2022, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM746 juta untuk menaik taraf sekolah di negeri ini menerusi 165 projek.  


Peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM52.6 bilion peruntukan untuk Kementerian Pendidikan, yang terbesar dalam bajet tahun ini (bersamaan dengan 16 peratus daripada jumlah perbelanjaan kerajaan), manakala RM14.5 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).


Menurut UNIMAS, Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini walaupun ini adalah bidang kuasa kerajaan Persekutuan, ini dibuktikan menerusi peruntukan RM11.82 juta untuk program Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD) untuk kepimpinan sekolah dan guru.


Kerajaan Sarawak turut mewujudkan Pusat Sains Sarawak bernilai RM200 juta yang dijadualkan siap pada 2024, selain menubuhkan Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak dan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak melibatkan kos RM211 juta.


“Penubuhan institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak seperti Universiti Putra Malaysia Bintulu, Universiti Teknologi MARA Kota Samarahan dan Mukah, Politeknik dan Kolej Komuniti adalah bukti keprihatinan KPT dalam memartabatkan rakyat Sarawak melalui pendidikan,” menurut UNIMAS dan menambah bahawa semua IPT itu menyumbang kepada peningkatan Sarawak sebagai pusat inovasi saintifik serta membantu kerajaan Sarawak dalam mencapai sasaran Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS2030).


-- BERNAMA

Next Post Previous Post