11 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja tiba di KLIA malam tadi

11 mangsa penipuan tawaran kerja di Kemboja tiba di KLIA malam tadi. Gambar kredit Wisma Putra

PUTRAJAYA-- Seramai 11 orang lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan warganegara Malaysia di Kemboja selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada pukul 11.55 malam tadi. 


Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat semalam, seramai 123 daripada 153 orang mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah berjaya diselamatkan.


"Kementerian merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Kemboja melalui pihak berkuasa negara itu atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa.


"Kementerian melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh akan terus komited dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kemboja untuk mengesan serta menyelamatkan mangsa bagi membolehkan mereka pulang ke tanah air dengan selamat," menurut kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu, individu atau waris kepada warganegara Malaysia yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara boleh berhubung secara terus dengan Kementerian Luar melalui Unit Bantuan Konsular Rakyat Malaysia di Luar Negara menerusi e-mel bkrm@kln.gov.my.


"Selain itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh juga boleh dihubungi melalui e-mel mwphnompenh@kln.gov.my sekiranya terdapat individu atau waris yang terlibat dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja,"menurut Kementerian Luar.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post