Langgar kereta mangsa sebelum samun, suspek akhirnya ditangkap


KUCHING-- Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib seorang lelaki tempatan yang licik menyamun dengan taktik melanggar kereta mangsa akhirnya berjaya ditangkap. 


Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 34 tahun ditangkap pada 29 Ogos lalu di sebuah kampung di kawasan Asajaya dekat sini. 


"Modus operandi suspek ialah melanggar kenderaan mangsa dan kemudian berpura-pura untuk berbincang kemudian bertindak menyamun mangsa. 


"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching telah mengaktifkan pasukan khas (CAT JSJ) untuk memburu suspek dan pada 29 Ogos 2022 telah berjaya mengesan dan menangkap suspek di sebuah kampung di kawasan Asajaya," katanya dalam kenyataan hari ini. 


Jelas Ahsmon, enam laporan kes bermula pada 1 Julai 2022 hingga 23 Ogos 2022 di kawasan daerah Kuching , termasuk kes video viral pada 23 Ogos 2022. 


"Sebanyak 6 kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu samun tanpa senjata api dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu curi," tegasnya. 


Selain itu, beliau memberitahu suspek mempunyai empat rekod siasatan lampau dan telah direman selama sembilan hari. 


"Dengan tangkapan ini, kes-kes yang berkaitan selesai sepenuhnya dalam tempoh 9 hari sejak kejadian pertama. 


"Suspek telah dituduh pada 8 September 2022 dan dijatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM5,000," ujarnya.


Tamat

Next Post Previous Post