PRU15: Pemuda Amanah tuntut kerusi 'boleh menang'


SEREMBAN--Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) mahu pucuk pimpinan parti mengutamakan kerusi ‘gred A’ atau kerusi ‘boleh menang’ diberikan kepada sayap itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Hasbie Muda berkata sayap itu menuntut agar kerusi yang diagih perlulah setanding dengan kerusi yang diberikan kepada rakan politik lain iaitu bersifat boleh menang (winnable).


“Ada rakan sebut kekecewaan, parti lebih mudah melepaskan kerusi gred A kepada rakan, kepada sayap pemuda sendiri kerusi ‘national service’ sahaja diberikan. Jadi Pemuda nak kerusi yang sama.


“Ada kepimpinan Pemuda kena ‘tebas lalang’ dulu (kalau nak bertanding), kawan-kawan (rakan politik) terus masuk je, tak payah tebas lalang, ini kita rasa pelik sikit,” katanya ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional sempena Konvensyen Amanah 2022 di sini hari ini.


Dalam pada itu, Mohd Hasbie berkata Pemuda Amanah juga mengalu-alukan sebarang kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), namun menyerahkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk membuat keputusan.


Beliau berkata sayap itu menerima apa sahaja keputusan sama ada penyertaan MUDA ke dalam PH sebagai sebahagian parti komponen atau kerjasama strategik.


Mohd Hasbie juga mahu seluruh sayap dalam PH terus menggembleng usaha menarik undi golongan muda pada PRU15 nanti dan usaha itu tidak seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas sayap Pemuda sahaja.


Sementara itu, Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar sewaktu ditemui pemberita selepas merasmikan konvensyen itu berkata pucuk pimpinan parti akan menambah kerusi untuk golongan muda parti itu pada PRU15 nanti.


“Kita juga akan pastikan kerusi yang ‘winnable’ diberikan kepada mereka,” katanya.


-- BERNAMA

Next Post Previous Post