Sarawak mendapat pengiktirafan daripada Universiti Salford UK


KUCHING-- Sarawak mendapat pengiktirafan oleh beberapa badan antarabangsa termasuk Universiti Salford, United Kingdom (UK) dalam pengumpulan data menerusi aplikasi digital semasa pengurusan pandemik COVID-19 melanda negeri ini.


Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengumpulan data yang tepat dan sistematik amat penting bagi memastikan setiap perancangan dan isu yang dihadapi rakyat dapat diatasi segera.



Katanya, inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak itu mendapat pengiktirafan beberapa badan antarabangsa termasuk Universiti Salford, UK.


"Data ini penting untuk kita buat keputusan dan juga dasar sekiranya berlaku bencana sekali gus dapat mengurangkan bebanan yang menimpa masyarakat dan peniagaan. 


"Ini sebagai pendekatan untuk kita mengurangkan risiko daripada apa yang berlaku.


"Dengan data (yang) disebutkan tadi, ia akan dianalisis di peringkat command centre dan sudah tentu mereka dapat memberikan cadangan kepada kerajaan mengenai apa yang harus dilakukan sebagai penyelesaian dalam menghadapi situasi bencana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Transcend Sarawak di Tegas Digital Village di sini, pada Rabu.


Abang Johari memberitahu, selari dengan ini kerajaan Sarawak menjalin kerjasama dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Salford untuk membangunkan penyelesaian teknologi inovatif yang boleh menangani cabaran global dan industri berikutan perubahan iklim global.


Jelas beliau, melalui kerjasama ini, kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) akan menggunakan beberapa platform digital untuk mengumpulkan data-data yang diperlukan.


Beliau ketika berucap melancarkan Transcend Sarawak berkata perubahan iklim yang berlaku pada masa kini boleh mewujudkan pelbagai bencana alam, dan pengumpulan data-data yang digabungkan akan dapat membolehkan amaran awal dapat dikeluarkan.

Next Post Previous Post