Kontraktor diberi amaran siapkan kerja menjelang hujung tahun ini


NIAH-- Pihak kontraktor projek Jejambat Suai, Seksyen Niah dan Jejambat Bakun, Seksyen Bakun WPC10 Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak diingatkan untuk menyiapkan projek berkenaan menjelang hujung tahun ini.


Pengarah Kerja Raya Sarawak Ir. Richard Tajan menegaskan bahawa beliau enggan mendengar sebarang alasan dan mahu kontraktor yang telah diamanahkan menyiapkan baki kerja-kerja yang ada menjelang hujung tahun ini. 



Beliau turut menekankan agar semua pihak yang terlibat (kontraktor, sub-kontraktor dan perunding) memastikan projek tersebut  dilaksanakan sebaik mungkin dan memenuhi kualiti standard yang ditetapkan.


"Saya mengingatkan agar pihak kontraktor untuk menyiapkan baki kerja-kerja yang ada menjelang hujung tahun ini tanpa memberi sebarang alasan lagi," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi Unit Lebuhraya Pan Borneo JKR Sarawak hari ini. 




Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke tapak projek Jejambat Suai dan Jejambat Bakun WPC10 pagi tadi. 


Lawatan tersebut bagi meninjau perkembangan terkini kedua projek jejambat berkenaan. 



Hadir sama dalam lawatan tersebut, Ketua Projek Unit Lebuhraya Pan Borneo (ULPB) JKR Sarawak Ir. Awg Mohd Fadillah Awg Redzuan, Jurutera Bahagian Miri JKR Sarawak Stephen Ung, Pengurus Zon Utara ULPB JKR Sarawak Ir. Siaw Ming Chian, pegawai-pegawai ULPB JKRS, wakil pihak kontraktor, PMC dan perunding.

Next Post Previous Post