Notification

×

Iklan

Iklan

8 kematian akibat rabies di Sarawak tahun ini

| September 27, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-09-27T08:09:55Z
Gambar hiasan

KUCHING-- Lapan kematian dipercayai rabies dalam kalangan manusia telah dilaporkan di Sarawak sepanjang tahun ini.


Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata penyakit terbabit menjangkiti mangsa melalui gigitan dan air liur anjing yang dijangkiti rabies.


"Sebarang gigitan oleh anjing, tidak mengira ada rabies atau tidak, anda (orang ramai) perlu sedar sepenuhnya yang anda perlukan vaksinasi (anti-rabies)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Rabies Di Borneo 2022, di sini, hari ini.


Beliau meminta orang ramai yang digigit anjing agar segera mendapatkan rawatan kerana jika sudah menunjukkan simptom sistem saraf dijangkiti rabies, kemungkinan ketika itu sudah terlambat untuk berbuat demikian.


Selain itu, Dr Rundi juga meminta orang ramai di Sarawak supaya memberikan vaksinasi anti-rabies kepada anjing mereka dan mendaftar anjing terbabit dengan pihak berkuasa.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sarawak (JPVNS), Dr Adrian Susin Ambud berkata pihaknya mensasarkan memberi suntikan anti rabies sehingga 70 peratus populasi anjing di negeri ini bagi mencapai imuniti kelompok.


Katanya, setakat ini pihaknya sudah memberikan sebanyak 250,000 dos vaksin anti-rabies kepada populasi anjing di negeri ini yang dianggarkan sebanyak 300,000 ekor.


-- BERNAMA

×
Berita Terbaru Update